Info Semasa Untukku dan Mungkin Untukmu

Sabtu, 24 Disember 2011

Parameter Pelaburan Emas

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti berikut:
Syarat Umum Jual Beli

1. Transaksi jual beli emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh Syarak, iaitu pihak yang berakad, item pertukaran, dan sighah menurut ’uruf yang diamalkan. Jika sekiranya suatu transaksi tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dikira tidak sah.
Pihak Yang Berakad

2. Pihak yang berakad mestilah orang yang mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud) iaitu dengan memenuhi kriteria berikut:

i. Baligh, berakal dan rasyid

Jika sekiranya pihak yang berakad seorang yang gila atau kanak-kanak samada mumayyiz atau tidak mumayyiz, maka jual belinya adalah tidak sah. Akad oleh kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak sah kerana jual beli ini melibatkan barang yang tinggi nilainya.

ii. Keredhaan

Akad jual beli mestilah dimeterai oleh dua pihak yang saling reda-meredhai, tanpa ada unsur paksaan, tekanan dan eksploitasi.
Harga Belian (al-Thaman)

3. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.
Barang Belian (al-Muthman)

4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya adalah tidak sah.
5. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang belian tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.
6. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:

i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya.

ii. Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.

iii. Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.
Sighah

7. Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku samada melalui pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.
8. Di dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.
9. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi

10. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:

i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.

ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.
Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.
Perincian taqabudh dan urusniaga lani adalah seperti berikut:
Syarat Pertama: Taqabudh

11. Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli iaitu harga dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.
12. Penyerahan harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:

a. Pembayaran secara tunai
b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran secara cek peribadi
d. Pembayaran secara kad debit
e. Pembayaran secara kad kredit
f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.
Secara urufnya, kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai pembayaran tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.
Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.
13. Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:

a. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.
14. Majlis akad di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.
Perlu diberi perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad tersebut sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula pada waktu tersebut, jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.
Syarat Kedua: Secara Lani

15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.
16. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.
17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.
Di dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing house dan lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.
Namun secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan berikut:
Pihak pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:
i. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.

ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh penjual.

iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.

iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya. Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.
Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.
Akad Dan Unsur Sampingan
18. Penglibatan hibah dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian bahawa hibah secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam bentuk lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibah tersebut.
19. Penglibatan wadiah dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang antara lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.

20. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah, tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual beli.
21. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.
22. Wa’d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak dan bukannya muwa’adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.
23. Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.

Sumber : Majlis Fatwa Kebangsaan

Khamis, 22 Disember 2011

Skim SBPA

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pelaksanaan skim sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan untuk dirunding semula dengan penjawat awam.

PM meminta satu rundingan diadakan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs esok bagi menentukan sama ada menangguhkan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) atau melanjutkan tarikh mengembalikan borang opsyen.(bernama)

Dengarnya yang dipersetujui kenaikan 7-13%.... tetapi yg sebaliknya pula masalah exit policy. Ada juga pertikaian berkenaan gaji atasan dan bawahan yg mempunyai jurang begitu jauh.

Ada yang kata skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sebenarnya Skim Bodek Pegawai Atasan (SBPA). Boleh jadi jugak... kalau tak berlaku kat sini mungkin berlaku kat sana... kalau tak berlaku kat sana berlaku kat sinun... huhh...

Macam-macam.. harap suatu keputusan yang baik dapat diputuskan nanti.

Selasa, 20 Disember 2011

Diveden ASB Naik 15 sen

Lama sungguh tak mengemaskini Blog ni.... sebenarnya idea dah berkurang tak tahulah kenapa... tapi tak apa.. Moga-moga tahun 2012 nanti idea untuk berblog ni datang mencurah-curah. Sepanjang 2 tahun 2009 dan 2010 saya banyak membaca blog orang lain jer malas pulak nak membuat catatan sendiri. Azam tahun ni kena aktif balik supaya otak ni tak kering.

Seperti biasa sebelum melangkah ke tahun 2012 ramai yang tak sabar-sabar menanti pengumuman dividen dan bonus ASB terutama pada para pelabur. Huhhh.. berapalah dapat tahun ni yer?? Tengoklah kat bawah tu...

2005: Dividen: 7.25% Bonus: 1.75% Total: 9.00%
2006: Dividen: 7.30% Bonus: 1.25% Total: 8.55%
2007: Dividen: 8.00% Bonus: 1.00% Total: 9.00%
2008: Dividen: 7.00% Bonus: 1.75% Total: 8.75%
2009: Dividen: 7.30% Bonus: 1.25% Total: 8.55%
2010: Dividen: 7.50% Bonus: 1.25% Total: 8.75%
2011: Dividen: 7.65% Bonus: 1.15% Total: 8.80%

Oklah tu... kira dividen meningkat 15 sen seunit daripada tahun lepas...

Sabtu, 26 Februari 2011

Tawakal pada yang TERBAIK...

Nampaknya sudah berada dipenghujung bulan Februari yang bakal melabuhkan tirainya buat tahun 2011 ini. Nampaknya saya agak kurang membuat catatan di Blog ini disebabkan memberi tumpuan buat seketika pada blog berita sekolah. Hemm.. apapun seronok rasanya dapat meneruskan kehidupan seperti sediakala walaupun beberapa dugaan datang melanda. Biasalah lumrah hidup. Sebagai manusia saya perlu menerima hakikat itu dan perlu sedar dan cuba menasihatkan diri sendiri agar tidak terbawa-bawa dengan sikap amarah.

Setiap hari pastinya ingin melakukan sesuatu yang terbaik. Walaubagaimanapun melakukan sesuatu yang terbaik bukanlah suatu perkara yg mudah, banyak kekangan yang memerlukan ketabahan dan kesabaran. Sentiasa mengingatkan hati ini bahawa tidak akan ada yang terbaik tanpa keizinan daripada yang TERBAIK... sentiasa bertawakal, apa yg telah dan bakal berlaku pasti ada hikmahnya. Ingatkan diri ini agar jgn sesekali menyatakan ikhlas kerana ikhlas itu adalah perkara yg tersirat.

Ahad, 13 Februari 2011

Pertama Kali Kena Ugut

Bulan Februari 2011 ini bersamaan 10 haribulan.... hari khamis. catatan ini saya buat bertujuan untuk rujukan saya pada masa akan datang. Sejarah buat pertama kalinya diugut oleh bapa murid dengan penampar.... apa masalahnya??? bukan sahaja nak menampar saya tapi juga mendakwa dia mempunyai tali pinggang hitam dalam taek-wan-do... apa semua ni?????

Disebabkan kata-kata berbaur ugutan ini saya telah membuat repot polis. Saya juga telah berjumpa dengan anaknya untuk cari tahu apa puncanya dan saya juga berpesan kepada anaknya untuk memaklumkan kepada bapanya untuk datang dan lempang saya kalau berani. Sekiranya berlaku apa-apa nanti bolehlah buka kes. Sebagai seorang guru yang tak bersalah saya bersedia untuk menerima apa sahaja tindakan daripada bapa murid tersebut. Saman... silakan... atau saya yang perlu saman??? Tak kiralah dia siapa... jawatan apa... negara Malaysia ini ada undang-undang.

Lebih 20 kali saya buat panggilan kepada suami isteri terbabit tetapi panggilan saya langsung tidak dijawab dan mereka juga tidak membuat panggilan balas. Kenapa????? Sepatutnya datang berjumpa saya sendiri face to face... berdepan... cari tahu cerita yang benar... bukan main tuduh melulu... sekolah ni bukan dia yang punya. Datang sekolah tak hormat guru, jalan dengan gaya berlagak.... ehhhh kau siapa???? sepatutnya masuk kandang kambing mengembek.... bukan sesuka hati nak menyalak....

Wajar ke seorang pegawai kerajaan berbuat demikian??? tambahan pula pegawai penyiasat SPRM.... ewah... ewah... dia ingat dunia ni dia yang punya... Yang tak patutnya lagi saya pula disuruhnya buat surat permohonan maaf... cis... dia ingat ni siapa???? mulut tak ada insurans macam tulah.. macam manalah dia buat kerja sebagai penyiasat???? eh... kalau saya ni ada masalah rasuah lainlah cerita... bolehlah takut...

Mengajar kat sekolah ni masuk tahun ke-7, dah beribu murid yang diajar... tak ada pula yang berperangai macam ni... ini pertama kali... hampeh betul... mungkin dia ingat cikgu ni pencacai jer.. siap ugut nak bawa isu ni ke atas... silakan... kalau dia bawa ke atas... saya bawak lagi atas... tinggi daripada dia.... nak panggil menteri... panggil... pengarah... panggil.... kalau tak salah nak takut buat apa kan???? orang macam ni memang ada kat mana-mana sekolah terutama sekolah yang ternama.... itu memang tak dinafikan... tapi minoriti sahaja yg bersikap sedemikian???? nama jer berpendidikan tinggi... tapi...???? jawab sendiri...

Harap perkara macam ni tak berlaku lagi... jangan sewenang-wenangnya nak mengugut guru. Guru seharusnya dihormati bukan dicaci. Kalau Tuhan memuliakan guru seperti mana mulianya Jibril yang menyampaikan ilmu kepada MUHAMMAD... kenapa manusia biasa nak mengeji dan mencaci guru???

Sabtu, 12 Februari 2011

Kau.... kasar ke???

Cikgu : Luqman kau ok tak hari ni? boleh tak cikgu minta tolong kau jap?
Murid : Boleh cikgu, tolong apa.
Cikgu : tolong Gelak Jap. Cikgu Buat lawak.
Murid : Hahahha.... cikgu ni...


Penggunaan perkataan kau dalam pertuturan dianggap kasar oleh sesetengah orang... betul ke kasar??? bagi anak kelahiran Sarawak dan Sabah ianya biasa hanya mempunyai satu maksud iaitu "You".

Mungkin anda memikirkan perkataan Kau adalah satu perkataan yang kasar bunyinya. Melalui pengamatan saya kau tidak langsung mempunyai maksud yang kasar. Hal ini kerana ianya digunakan ketika kita berdoa meminta pertolongan kepada ALLAH sebagai contoh : Ya Allah Ya Tuhanku, KAU ampunilah dosaku. Aku meminta hanya PadaMU Ya Allah. Sesungguhnya Hanya Kaulah Tuhan yang ku Sembah tiada tuhan yang ku sembah melainkan KAU YA ALLAH...

Sekiranya penggunaan perkataan Kau dalam pertuturan dianggap kasar.... kenapa kita sewenang-wenangnya menggunakan perkataan kau ketika berdoa.

Khamis, 10 Februari 2011

Pencipta Lebih Hebat Daripada Yang Dicipta

Orang kata buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.... mungkin silap sebenarnya buat baik berpada-pada buat jahat jangan sesekali.. Sebagai manusia saya perlu sentiasa beringat bahawa setiap perbuatan baik itu tidak semestinya dibalas dengan baik begitu jugalah sebaliknya. Apa yang penting lakukan yang terbaik, termampu dan sentiasa berserah kepada Allah s.w.t kerana kekuatan sebenar hanya ada padaNya.

Apa ada pada manusia yang kuat.... kuatkah kita??? boleh mengangkat batu besar?? mempunyai tali pinggang hitam dalam taek-wan-do atau karate-do, boleh berlari pantas... seorang peninju yang hebat... hah... kecil sahaja bagi PENCIPTA... jika manusia itu hebat maka PENCIPTA itu tersangatlah hebat... walaubagaimanapun kekuatan manusia sebenarnya terletak pada akal dan imannya.. kelemahan pula terletak pada nafsu dan amarahnya... kesimpulan Pencipta adalah lebih hebat daripada yang dicipta.. Oleh itu tidak perlu sombong dan bongkak dengan tali pinggang... jawatan... kuasa atau apa saja....

Terkadang orang suka mengambil kesempatan atas kebaikan yang kita lakukan dan ada juga seperti "susu di balas dengan tuba" membalas kebaikan dengan keburukan. Sebagai manusia kita harus terima hakikat ini. Tapi jangan terima secara membuta tuli... sesuaikan dengan keadaan..
Allah akan memuliakan hambaNya ketika sedang dianiaya lalu Allah memberikan kemaafan apabila dia mengharapkan keredhaanNya...
Pergilah malaikat maut di suatu tempat yakni antara syurga dan neraka lalu dicabutnya nyawa sendiri di situ dengan cara selembut-lembutnya. Dia berteriak sekuat hati dan andainya ada makhluk Allah yang lain mendengar teriakannya, maka akan mati kesemuanya. Lalu dia berkata, “Andainya aku tahu pedihnya rasa mati, akan aku cabut nyawa orang beriman dengan selembut-lembut cara.”

Isnin, 17 Januari 2011

FB Kata Pergi Youtube Kata Mari

Tahun 2011 nampaknya bermula begitu baik. Harap dapat jadi lebih baik lagi pada masa yang mendatang. Banyak rupanya pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi pada tahun lepas. Seronok rasanya apabila dapat merakam kebanyakan aktiviti yang dijalankan saepanjang berada di tahun 2010. Pastinya kita tidak dapat mengundurkan masa tetapi melalui rakaman video yang dibuat dapat sekurang-kurangnya mengimbau kenangan silam... huhh memang best.

Tahun 2010 juga menyaksikan saya kurang aktif dalam membuat catatan di blog dan lebih tertumpu pada facebook atau lebih dikenali sebagai FB. Biasalah setiap ciptaan pasti ada kekurangannya tambah pula ciptaan manusia sendiri. Tapi setiap yang kurang tidak boleh kita nafikan akan kelebihannya, asalkan bijak menggunakannya ia pasti tidak mendatangkan masalah pada kita.

Saya suka menggunakan aplikasi video di FB untuk memuatkan naik segala video yang untuk disimpan buat tatapan rakan2 dan juga murid2. Dua bulan yang lalu saya tidak lagi dapat menggunakan aplikasi tersebut akibat disekat kerana melanggar peraturan... yerlah termuatnaik video dari youtube... Hahaha.. ingatkan boleh rupanya sebaliknya..

Bagi mengatasi masalah tersebut saya membuka akaun di youtube.... bukan untuk simpan duit tapi untuk simpan koleksi video yang saya ada. Jadi sekarang secara perlahan-lahan atau sedikit demi sedikit saya mula memuat naik video yang menjadi koleksi video saya di youtube... macam mana nak lihat koleksi video saya.. mudah jer.. taip ezamramlan pada carian youtube... itu jer..

Rabu, 12 Januari 2011

Calon SBT Kena Pantau

Jemaah Nazir sedang meneliti fail-fail di Bilik Gerakan

Semalam bersamaan 11.1.11 SK Setiawangsa telah didatangi oleh jemaah nazir untuk membuat pemantauan peringkat akhir kerana sekolah ini telah menjadi calon Sekolah Berprestasi Tinggi bagi tahun 2011. Saya adalah antara yang turut menjadi mangsa pemantauan mereka... huhhhh.. cam mana leh terkena ni... Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Lama juga mereka di sini sejak pukul 7.30 pagi hinggalah pukul 5 petang..

Rutin harian: guru-guru yang rajin ini kelihatan begitu sibuk....

Fokus: Khusyuk sungguh mereka menyiapkan kerja....

Kesibukan seperti gambar yang di papar di atas ini boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari. Kadangkala sahaja yang kelihatan agak tenang. Hemmmm... Sekarang ni cikgu-cikgu dan seluruh warga SKK SK Setiawangsa berdebar menanti keputusan yang bakal diumumkan tidak lama lagi. Harap suatu keputusan positif yang akan diterima nanti. Jika ini berlaku, pastinya kami akan gembira dan tergamam seketika. Mungkin juga ada yang akan menangis kerana sebelum ini telah berusaha begitu gigih untuk menaikkan nama sekolah di peringkat yang lebih tinggi.

Isnin, 3 Januari 2011

Mula Sekolah Bank Sesak Labur Emas

Sesi persekolahan bagi sesi 2011 baru sahaja bermula tepat jam 7.20 pagi 3 Januari 2011 bagi yang bertugas di SK Setiawangsa. Macam biasa di hari pertama pasti sekolah bersesak dengan kehadiran ibubapa terutama yang menemani anak di tahun 1. Apa yang penting adalah perjalanan sesi sepanjang hari ini berjalan lancar.

Sesak bukan sahaja di sekolah sahaja, huhh.. di bank dan pejabat pos pun begitu juga. Ramai betul hari beratur nak keluarkan duit dividen ASB. Agak kurang bernasib baik bagi saya apabila hanya berkesempatan untuk mengemaskini buku ASB sahaja kerana masa pengeluaran duit hanya dibuka sehingga pukul 11 pagi. Pekerja kat bank tu kata datang esok sebelum pukul 11 pagi. Alamak, sekolah daa!!. Lepas tu terus gerak ke Pejabat Pos... tu dia penuh orang sampai ke pintu luar. Kemudia terpampang pula tulisan Harap maaf kami kehabisan duit.. huhhh nampaknya kenalah tunggu 2 atau 3 hari lagi.

Dividen ASB tu nak keluarkan nak beli emas pulak. Tahun ni tahun pertama memulakan pelaburan emas tapi nak mula cam mana duit tak leh keluar... adoi terlewatlah 2, 3 hari..