Info Semasa Untukku dan Mungkin Untukmu

Sabtu, 21 Februari 2009

Klinik Sofbol SK Setiawangsa

Pasukan sofbol SK Setiawanga telah mengadakan klinik Sofbol pagi tadi bersama jurulatih jemputan En. Ong Ka Aun iaitu bekas pengerusi pengadil sofbol Malaysia. Banyak ilmu baru yang dipelajari pagi tadi dalam memperkasakan pasukan sofbol SK Setiawangsa. Mereka yang terlibat pagi tadi hanyalah wakil sekolah dan beberapa orang murid pelapis untuk tahun hadapan.

Pagi tadi juga diadakan pemilihan akhir pasukan Sofbol SK Setiawangsa yang juga kini dikenali sebagai Eskays Fireball. Pemilihan ini terpaksa dilakukan hingga ke fasa kelima selepas beberapa orang murid menarik diri dari menyertai pasukan ini. Murid-murid yang dipilih kali ini termasuklah tahun 4, 5 dan 6 lelaki dan perempuan.

Beberapa siri latihan akan diadakan lagi bagi menambahkan kemantapan dalam pasukan sofbol memandangkan permainan ini rumit dan memerlukan kebijaksanaan pemain untuk membuat keputusan.

Bagi pasukan perempuan Aleena dilantik sebagai Kapten pasukan memandangkan dia telah mewakili Kuala Lumpur selama 2 tahun berturut-turut. Manakala bagi pasukan lelaki Azimuddin dilantik selaku kapten.

Kepada ibubapa murid yang terpilih untuk mewakili sekolah diucapkan tahniah dan saya sebagai jurulatih berharap agar ibubapa dapat memberi sokongan dan dokongan kepada anak-anak supaya dapat melakukan terbaik bukan sahaja untuk diri sendiri... bahkan ibubapa, keluarga dan juga SK Setiawangsa.

Ibubapa juga diharapkan dapat membuat pemantauan agar anak-anak yang terlibat tidak mengabaikan pelajaran. Dalam apajua sekalipun pelajaran adalah yang utama manakala bidang sukan atau kokurikulum ini pula adalah sampingan dalam membantu membentuk sahsiah anak kita supaya boleh berdikari, bijak membuat keputusan dan sebagainya.