Info Semasa Untukku dan Mungkin Untukmu

Jumaat, 31 Julai 2009

Bincang 5M dan Aktiviti 1 Ogos

Semalam saya dan semua guru tahun 5 telah dipanggil untuk satu perjumpaan khas bersama Tn. Hj. Ruslan Madon. Ingatkan apa.. rupa-rupanya untuk memulakan satu lagi langkah ke arah memastikan kecemerlangan sekolah. Hal ini, memandangkan beliau sendiri adalah Pengerusi MGB Malaysia dan selaku GB di SK Setiawangsa..

Bidang pendidikan merupakan salah satu bidang keberhasilan utama negara iaitu akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Jadi salah satu fokus utama kali ini untuk memastikan semua murid boleh membaca selewat-lewatnya pada tahun 4.

Dek kerana itulah GB ajak kami semua berbincang dan memberi pendapat serta pandangan tentang aktiviti2 yang akan dilaksanakan secepat mungkin bagi memastikan matlamat untuk melihat sifar tak boleh membaca tercapai. Apa yang bagusnya perjumpaan diadakan dalam kelompok yang kecil. Jadi mudahlah sikit untuk berbincang dan mudah juga bagi setiap orang mengeluarkan pandangan atau idea2 bernas.

Insyaallah, program yang boleh saya singkatkan sebagai 5M iaitu Mentor Mengajar Membaca, Menulis dan Mengira yang akan dilaksanakan tidak lama lagi akan membuahkan hasil sekiranya apa yang dibincangkan menjadi kenyataan.

Saya lihat perbincangan semalam boleh dijadikan perjumpaan bulanan yang mana hanya melibatkan guru-guru setiap aliran supaya pelbagai pandangan, masalah, rasa tidak puas hati dan sebagainya dapat dikongsi bersama dengan GB sendiri yang mana secara tak langsung akan membina hubungan yang lebih rapat sesama guru. GB jaga Cikgu... Cikgu Jaga Murid... Murid jaga-jaga... baru betul.

Setiap guru mempunyai cara atau pendekatan berbeza... jadi dengan cara ini kita sama-sama dapat berkongsi idea dan sebagainya. Kalau mesyuarat yang melibatkan kuantiti yang ramai agak sukar juga kita nak mengeluarkan pendapat atau berbincang sebenarnya.

Apapun, saya harap.... hasrat GB dan guru2 SK Setiawangsa untuk melihat anak-anak didik di sini cemerlang akan berjaya... murid-murid pula perlu sentiasa manfaatkan usaha-usaha pihak sekolah termasuklah impian ibubapa sendiri untuk melihat murid-murid berjaya kelak.

Untuk makluman selanjutnya seperti dibawah:

Esok 1 Ogos 2009 beberapa aktiviti akan dijalankan di EsKayS..

*Music Talk bersama Man Kidal.... Ibubapa murid EsKayS dijemput hadir

*Guru2 Lelaki terlibat dalam perlawanan bola tampar (7.30 pagi).

*Habis main bola Tampar... Kibar bendera Malaysia di Sekitar sekolah(10.30 pagi)

*Ahli Mini Theater (Bawang Putih Bawang Merah) esok latihan seperti biasa.

*EsKayS dijangka padat esok... harap FRU tak sembur kami dengan gas beracun..

Khamis, 30 Julai 2009

Public Speaking 2009 Zon Keramat EsKayS No.3


Khabar berita yang menggembirakan warga SK Setiawangsa apabila Lisa seperti gambar di sebelah telah berjaya memenangi tempat ketiga dalam pertandingan public speaking zon keramat... Tahniah atas kejayaan tersebut.. bukan senang nak menang tu.... Cikgu Jusvinder selaku guru pembimbing kepada Lisa mengambil langkah berani memilih Lisa sebagai murid melayu untuk pertandingan tersebut... walaupun sejak dulu lagi sukar untuk murid melayu menang dalam pertandingan tersebut... memandangkan kefasihan bahasa lebih kepada murid berbangsa cina dan india....

Apapun segalanya boleh terjadi... Tempat pertama dimenangi oleh murid dari bangsa India yang bersekolah di sk cbn 2.... manakala no2 pula murid berbangsa cina dari seri rampai.... dan sk setiawangsa di tempat ke3 dgn murid berbangsa melayu... Wow... cukuplah... semua bangsa ada...

Rabu, 29 Julai 2009

H1N1 Dan Pemilihan Topeng

ABCDEFGH1N1.... nampaknya virus ini semakin lama semakin merebak bercambah mencari downline2 baru untuk turut serta menjadi ejen penyebar... bila dah ramai downline keuntungan yang dapat dibahagi samarata... sama ada merana akibat jangkitan virus tersebut atau maut...

Virus ini bukan kira apa bangsa, apa agama, apa warna kulit, kuat mana pun boleh kena jugak... langkah berjaga-jaga setakat ini boleh dikira sebagai kurang memuaskan... sebab apa? sebab belum kena batang hidung sendiri... macam orang hisap rokok ler... letak gambar monyet maut kena kanser sebab merokok pun diorang tak takut....

Saya pun sama dengan jer.... tak reti nak pakai penutup hidung topeng belalang tu... adoi malulah nak pakai... antara malu dengan maut mana nak pilih? adoi... payah betul rasa...

Saya rasa kat sekolah kena wajibkan pakai kot... baru semua pakai... macam gambar kat atas tu... biasalah kalau sorang pakai mesti pelik... kalau saya sengsorang atau ada beberapa kerat yang pakai... saya akan rasa diri ini seperti seorang penyelamat dunia atau lebih dikenali dengan panggilan mentadak-mentaduman... yerlahkan? rupa macam mentadak... tapi mentadak tak malu pulak muka dia macam tu... tahu tak pasal apa? pasal kawan2 dia spesen dengan dia... jadi tak malu sangat..

jadi kalau kat sekolah semua orang pakai saya pun akan pakai lah... cuma dalam kelas kena bukak.. tak biasa... dan tak selesa nak mengajar kalau pakai topeng... kalau nak belajar mencuri atau rompak tandas awam ok kot..

Sebenarnya risau jugak memandangkan sudah 4 kematian berlaku... tapi biasalah selagi tak kena kita akan beranggapan diri kita ni sentiasa akan selamat... untuk pengetahuan nkorang semua si mati dulu pun beranggapan sebegitu juga... so pepandailah pikir...

Tak lama lagi topeng akan jadi sebahagian daripada keperluan atau pakaian... jadi mesti nak pilih yang sesuai... so cubalah tengok design mana yg cantik....
Di peringkat sekolah elok guna topeng cam ni senang nak zip mulut kalau keadaan bising.. lagipun waktu nak makan boleh bukak balik zip tu...

Ini pulak sesuai untuk aktiviti pendidikan jasmani... kalau guling-guling pun tak tercabut... So cikgu pj elok pakai
Ini sesuai untuk pentadbir sekolah.. supaya nampak lebih garang dan menakutkan... guru disiplin pun boleh... kalau nak pakai waktu malam pun elok.... guru yg mengajar tusyen malam digalakkan

Ini elok untu pergi jalan-jalan ke taman haiwan atau zoo negara... kalau nak pergi kenduri kawen pun boleh pakai jugak... tapi elok juga untuk ibu2 selepas bersalin...

Ini pun boleh jugak... sekurang-kurangnya peragut pun takut nak ragut..

Ini elok dipakai di pusat sumber.....

Saya sarankan pakai yang ini ajerlah supaya kita senang nak ketawa...

Selasa, 28 Julai 2009

Periksa Macam Perang


Peperiksaan sejak dulu diumpamakan seperti menghadapi peperangan... kalau boleh kita tidak mahu gagal dalam peperangan.. kita nak beroleh kejayaan... sekurang-kurangnya persediaan perlu untuk menghadapi peperangan.. Paling kurang tahu menggunakan senjata supaya nanti tak tertikam atau tertembak bapak atau ayah tiri jiran sebelah rumah kita atau sahabat handai kepada ibu susu abang angkat kepada kawan rapat kita. Apapun persediaan amat penting.. Ada senapang tapi tak ada peluru pun tak ada guna.... macam naik motor takde tayarlah...

Macam tu jugalah peperiksaan.. persediaan memang penting sebagai peluru untuk disasarkan masa kita nak menembak nanti. kalau main tembak jer belum tentu kena.

Kadang2 peperanngan berlaku tetiba jer... sebab tu saya respek kepada pejuang2 tanah air yang telah sanggup berkorban nyawa tanpa mengeluh sedikit pun... tidak keluar sepatah daripada mulut mereka tentang apsal peperangan ni awal sangat? aku tak sedia lagi nak perang. kenapa negara ni zalim adakan peperangan?... tidak pernah kedengaran langsung perkataan sebegitu... yang pastinya mereka berjuang setulus hati demi menjaga maruah diri, keluarga, agama, bangsa dan negara...

Begitu jugalah peperiksaan... kita harus bersiap sedia supaya bila saja masa nak diuji kita dah bersiap dan tak ada rasa takut dalam diri.... ada juga sekolah yang buat gerak gempur... gerak gempur ni dilakukan secara mengejut... tahu2 dah kena jawab ujian... lagi dasyat... tapi biasanya gerak gempur macam ni dibuat bagi mereka yang akan menghadapi PMR dan SPM... apapun nkorang bebudak semua kena bersiap sedia..

Jadikan parajurit tanah air sebagai contoh terbaik... berjuang dengan penuh berani tanpa rasa gusar, gentar dan gundah gulana. Nak buat apa takut... periksa memang umpama macam berperang tapi kalau gagal pun bukannya mati... apalah nak takut sangat...

Doa.. doa sangat penting kalau kita ada senjata dan mempunyai peluru serta kepakaran kerana kita sudah cukup terlatih belum tentu lagi kita boleh mencapai kemenangan tanpa restu yang maha kuasa... dalam peperiksaan pun samalah...

Jadi, buatlah persedian, banyakkan berdoa, bersabar dan bertenang... kerana Allah suka pada orang yang bersifat tenang dan sabar.

Cari Harta Karun Ujian Formatif 3

Minggu lepas murid-murid tahun 6 telah pun menyelesaikan percubaan UPSR yang pertama... murid pun dah memperolehi markah dah sekurang-kurangnya dah boleh menilai tahap pencapaan terkini.. Ada yang berpuas hati.. ada yang masih tidak puas hati.. ada yang kecik hati... ada yang makan hati... dan macam-macam lagi..

Dalam tempoh beberapa hari ini kelihatan murid-murid tahun 6 seperti bermain permainan mencari harta karun.... kehulu kehilir meminta tanda-tangan guru bagi membuat pengesahan tentang penglibatan mereka sepanjang berada di sekolah sepanjang tahun 6 ini untuk kegunaan permohonan sesi persekolahan berasrama penuh pada tahun hadapan. Situasi seperti mencari harta karun ini memang berlaku sejak dulu lagi.. terutamanya bagi mereka yang akan menduduki UPSR, PMR dan SPM.. mana taknya... koleksi sijil dan jawatan2 dalam kokurikulum dimbil kira... Murid-murid tahun tahun 5 yang tengok pun jadi cuak... baru terpikir perancangan untuk tahun depan... nak kumpul sijil banyak2...

Bagi murid tahun 1 hingga 5 pula akan menghadapi ujian formatif tidak lama lagi yang mana saya dimaklumkan tadi ujian akan diadakan seawal 12, 13 dan 14 Ogos... berbanding perancangan sebelumnya 18, 19 dan 20.... Kebetulan saya antara penyedia soalan kertas 1 dan cikgu riduan pula kertas 2... jadi terpaksalah menyegerakan tugas menyediakan soalan ujian tersebut... bagi soalan math.. tahun 5 murid akan diuji sehingga tajuk volume of liquid... jadi cubalah buat ulangkaji sehingga tajuk tersebut.. masih ada masa untuk bertanya dan memperbetulkan beberapa kemahiran yang masih lemah...

Kemahiran-kemahiran yang akan diuji nanti pastinya lebih sukar... buatlah ulangkaji bagi kemahiran-kemahiran yang sukar dan masih belum dikuasai sepenuhnya... semoga berjaya

Isnin, 27 Julai 2009

Demam Makan Durian

Demam, deman, deme, demang... adoih siksa rasanya demam ni... sebenarnya dah masuk hari kelima ni... sebelum ni ok jer boleh tahan... entah maca mana semalam teruk pulak... memula demam ni pasal makan durian yang abah bawak balik... orang tak nak makan.. dia suruh jugak.. sudahnya bila dah makan satu nak makan lagi... bak kata pepatah rasa sekali nak lagi..

Biasa demam bleh tahan lagi boleh pegi sekolah... ari ni... memang surrenderlah... tak larat...

Lepas ni memang kena hati2 bila makan durian... sebab tu lah tak berapa gemar makan durian ni....

Dah macam penyakit dilamun cinta pulak.. makan tak lalu... tidur tak lena asyik terjaga jer.. mandi memang basah lah yang tu takleh tipu...

Jumaat, 24 Julai 2009

Rajin Bertanya Terima Kasih

Hari ini ada rasa sedikit gembira apabila melihat prestasi semasa murid-murid kelas saya semakin membanggakan.. Sudah ramai menunjukkan minat untuk belajar.. Alhamdullulah, syukur sangat... sejuk perut ibu mengandungkan nkorang...

Tambah seronok lagi apabila kebelakangan ini ramai murid yang berani bertanya berbanding sebelumnya... bagi saya.. saya suka apabila murid bertanya tentang masalah pelajaran dan minta dibantu... tidak kiralah kat mana berada pun...

Terima kasih murid-murid... teruskan lagi usaha... semoga berjaya

Bintang Dan Rumput

"Apabila berjaya gapai bintang di langit jangan lupa rumput di bumi".

Setiap orang perlu sentiasa beringat bahawa pandainya kita atau hebatnya kita tika ini adalah kerana didikan ibubapa dan guru-guru termasuklah pensyarah2 dan rakan2 kita sebelum ini.. Dek kerana itulah saya tidak akan lupa jasa-jasa mereka. Saya doakan agar mereka sentiasa dirahmati Allah atas keikhlasan mendidik saya suatu masa dulu.

Tambahan pula saya sendiri melalui pusingan roda yang memang diciptakan untuk saya. Saya dulu diajar oleh guru-guru saya dan kini setiap tahun ada saja anak bekas guru-guru saya menjadi anak didik saya pula. Saya berjanji akan mendidik anak-anak cikgu seperti mana cikgu mendidik saya suatu tika dulu.

Saya hendak mengingatkan diri saya dan juga murid agar tidak membangga diri apabila kita berjaya menguasai sesuatu perkara kerana kita juga pernah "bodoh" sebelum itu. Disebabkan kita belajar dan berusahalah kita berjaya. Tapi harus juga kita ingat bahawa tidak semestinya setiap apa yang kita usahaka akan berhasil. Sebagai contoh sewaktu belajar ada yang cepat faham ada yang lambat untuk faham dan ada yang tak faham langsung kerana keterbatasan minda masing-masing yang berpunca dari faktor pemakanan dan persekitaran walaupun telah berusaha bersungguh2. Apapun setiap orang perlu bersyukur. Teruskan usaha dan tidak berputus asa kerana dengan usaha ilmu itu akhirnya akan diperolehi jua, cuma masa saja yang akan menentukan.

Saya sentiasa akan mengingatkan diri saya agar mencurahkan segala ilmu yang ada kepada sesiapa yang nak mempelajarinya. Begitu juga dengan murid.. saya berharap murid-murid yang sudah pun berada dalam katogeri pandai sentiasa membantu rakan-rakan yang lemah dan cuba membayangkan mereka yang lemah itu adalah diri anda sendiri suatu masa dulu.

Allah menjanjikan balasan yang baik bagi setiap perkara yang kita lakukan. Sebab itulah apabila kita mengajar orang lain dengan ilmu yang kita ada pastinya minda kita akan semakin terbuka dan berkembang. Selain itu, niat perlu ikhlas semata-mata kerana Allah kerana ilmu ini hanyalah milikNya. Ingat! Dia yang memberi dia juga berhak menariknya semula.

Khamis, 23 Julai 2009

Ogos Puasa Merdeka

Bulan Ogos bakal menjelma tidak lama lagi... sedar tak sedar dah hampir 8 bulan berada di tahun 2009 ni... Pelbagai program akan berlaku sepanjang bulan 8 nanti... Antaranya termasuklah Ibadah puasa...

Bulan Ramadhan dah hampir tiba.. jadi bagi mereka yang berhutang puasa perlulah laksanakan dengan segera sementara masih sihat ni... terutama kaum wanita yang tiap tahun tak pernah puasa penuh...

Sepanjang Ogos juga, bulan kemerdekaan akan berlansung. Bagi peringkat sekolah pelbagai aktiviti telah dirancang. Saya tak terlibat dalam jawatankuasa hari kemerdekaan nanti.. tapi saya dapat tahu ada pelbagai pertandingan yang akan dianjurkan.. termasuklah pertandingan nyanyian lagu patriotik.. berduet... beberapa orang cikgu juga akan buat persembahan seperti mendeklamasikan sajak dan sebagainya...

Apapun puasa lebih penting dari merdeka... jadi kalau nak sambut merdeka pastikan puasa yang terhutang pada tahun lepas diganti segera....

Rabu, 22 Julai 2009

Ulangkaji Math Tahun 5

Ujian formatif 3 bakal menjelang tidak lama lagi... Yang pastinya kemahiran-kemahiran yang diuji adalah lebih sukar berbanding sebelumnya... Bagi matapelajaran math latihan adalah sangat penting...

Jadi bagi membantu murid membuat ulangkaji... terutamanya 5Cerdas, Jaya dan Wawasan... saya ada menyediakan soalan... Mulai hari ini 8 soalan akan diberikan setiap hari untuk menguji keupayaan murid... murid boleh cuba jawab sendiri... macam biaslaah jawab atas kertas A4... bulatkan soalan yang tidak dapat dijawab. Seterusnya berjumpa dengan cikgu untuk rujukan seterusnya.

Saya harap murid-murid lebih bersedia selepas ini.

"Kalau tak di pecahkan ruyung manakan dapat sagunya."

Untuk menjawab soalan ulangkaji tersebut sila klik mathexers.blogspot.com

Kepada murid yang dah ada blog sendiri bolehlah letakkan link mathexers.blogspot.com kat blog nkorang...

Tak Dapat Apa Yang Di Pinta

Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah adalah sempurna tambahan pula diberi akal yang cukup hebat untuk membimbing nafsu supaya sentiasa berada dilandasan yang benar...

Pelbagai ranjau pasti dilalui oleh setiap manusia.. Kita perlu tempuhi semua itu dengan tabah dan hati terbuka.. Lain orang lain ujiannya... lengkap dan cukup sempurna ciptaan yang maha kuasa... ada kaya ada miskin... ada yang hebat dan ada pula yang lemah...

Sebagai manusia yang berakal pernahkah kita bertanya... kenapa Allah tidak jadikan semuanya Kaya?... kenapa tidak semuanya hebat?

Istimewanya manusia sebab akal dan nafsu... berbeza dgn jin yang hanya mempunyai nafsu begitu juga malaikat yang tidak bernafsu.. Sebenarnya Allah berkehendakkan kita hidup di muka bumi ini dengan saling tolong-menolong... yang kaya bantu yang miskin... yang hebat bantu yang lemah... yang mana nanti akhirnya manusia semuanya sama... yang kaya tapi tidak menggunakan kekayaannya dengan betul akan binasa juga akhirnya... begitu juga dengan seseorang yang hebat tetapi angkuh dengan kehebatannya... nescaya mendapat kemurkaanNya..

Sebagai manusia biasa bukan semua kehendak kita akan dimakbulkan tuhan... walau sealim mana pun kita... ini kerana itu adalah ujian buat menguji keimanan kita...

Jadi, Kadang2 juga kita bertanya... mengapa aku tidak dapat apa yang aku inginkan? kenapa?

Firman Allah S.W.T :

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia buruk bagimu, Tuhan (Allah) mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui"
(al-Baqarah ayat :216)

Selasa, 21 Julai 2009

Internet 2.0 dan Ulasan

Tahukah anda sekarang ni kita berada di alam internet 2.0.... mesti tak tahu kan? Apa kejadahnya tu...

Sebenarnya suatu ketika dulu internet adalah versi 1.0.. segala apa yang dipaparkan adalah sehala sahaja...

Tapi untuk zaman ini versinya sudah naik ke peringkat kedua iaitu 2.0.. apa maksudnya.. maksudnya internet zaman sekarang ini lebih canggih dari dulu. Penggunaannya adalah secara pelbagai hala... sebagai contoh saya mencatat apa saja maklumat, pandangan dan sebagainya ke dalam blog ini kemudian orang kedua sebagai pembaca bukan sahaja boleh membaca malah boleh membuat komen atau ulasan dibawahnya.. bukan itu sahaja.. banyak benda yang boleh dikongsi secara percuma tanpa bayaran.

Selain blog pelbagai lagi contoh lain seperti Twitter, facebook, myspace, youtube, friendster, tagg dan bermacam-macam lagi...

Jadi saya harap anda semua sebagai pembaca komenlah tentang catatan yang saya buat. Sekurang-kurangnya saya dapat sedikit input untuk menambah baik catatan pada masa hadapan. Seseorang itu tidak dapat menilai dirinya sendiri sehinggalah ada orang lain yang menegurnya.

Bangkang UPSR Takut Ker?

Ramai bebudak ni bila dengar cerita nak mansuh UPSR semua setuju... macam-macam alasan diberi.

Nak cerita sedikit berkenaan dengan UPSR nie... sebenarnya UPSR diwujudkan bagi menilai pencapaian individu murid bagi peringkat rendah di peringkat kebangsaan. Jadi sebelum naik ke peringkat menengah nanti sekurang-kurangnya ibubapa dapat mengetahui tahap pembelajaran anak mereka.

Setiap ilmu yang dituntut mesti diuji pencapaiannya kalau tak.... tidak ada maknanya kita menuntut sesuatu ilmu. Seperti juga ilmu agama... Ilmu pertahankan diri... ilmu hitam pun... tapi ilmu hitam tak boleh tuntut berdosa besar.. nanti masuk neraka

Bebudak tak suka UPSR sebab malas nak study... kena tetkan oleh ibubapa... belajar hari-hari... lepas tu banyak kehendak mereka disekat... sehingga ada yang memendam rasa dan tertekan.

Masalahnya adakah perlu seseorang itu bertungkus lumus sewaktu mereka berada di tahun 6 demi untuk mencapai keputusan cemerlang? Jawapannya tidak...

Manusia ni ada pelbagai jenis.. sebab itulah kita perlu menuntut ilmu supaya kita tahu yang mana betul yang mana pula tidak. Kaedah yang digunakan bagi mengulangkaji ketika peperiksaan hampir tiba adalah kaedah yang salah. Jadi apakah kaedah yang betul?

Sebenarnya kaedah yang betul simple jer... belajar ikut jadual macam biasa... tak perlu tertekan.. jadual belajar tak perlu padat... yang penting berkat. Maksud saya apa yang dibaca dan dibuat adalah ikhlas bukan paksaan. Main juga perlu bagi melatih otak supaya sentiasa cergas untuk melahirkan minda yang cerdas. Ini telah dibuktikan sendiri oleh Nicol David yang mainnya lebih dari belajar...

Tumpuan dalam kelas amat penting.. jika murid memahami apa yang dipelajari di kelas kerana memberi tumpuan 100%, study sikit-sikit pun boleh cemerlang dalam peperiksaan. Ilmu yang dituntut pula perlu dipastikan berkat seterusnya kita perlu sentiasa berdoa dan berserah pada Allah untuk menentukan segala-galanya. Tidak perlu terlalu tekun sehingga menjadikan kita tertekan. Sebab itulah bermula dari sekarang murid perlu berubah... belajar di sekolah macam biasa.. tetapi di rumah perlu buat jadual belajar sendiri... main macam biasalah... cuma bila dah hampir sangat janganlah keluar bermain... bukan apa, dibimbangi berlaku kemalangan ker nanti susah pulak...

Sekiranya kita belajar dengan tekun di sekolah bermula sekurang-kurangnya sejak tahun 4 atau 5... pada tahun 6 nanti tak perlu lagi terkejar-kejar untuk belajar semua perkara...

Berani kerana benar takut kerana salah... dalam berjuang kita perlu berani menghadapi segala rintangan... walau banyak mana peperiksaan pun kita perlu berani tempuhi.. tanpa keberanian tersebut kita sebenarnya bersalah pada diri kita sendiri.

Kalau ditanya pada bebudak ni memang dia tak nak UPSR... kalau saya jadi budak pun... saya tak nak... kalau boleh PMR pun tak yah... SPM pun tak yah.... pendek kata semuanya tak yahlah... tapi ingat semua tu untuk penilaian... fikirkanlah!!!

Isnin, 20 Julai 2009

Anugerah Kecemerlangan Guru Besar 2009 Penggal Pertama

Buat pertama kalinya hari ini SK Setiawangsa mewujudkan beberapa Anugerah untuk disampaikan kepada murid yang berjaya mencapai tahap yang telah ditetapkan. Anugerah yang dimaksudkan ialah Anugerah Kecemerlangan Guru Besar. Anugerah tersebut terbahagi kepada 3 katogeri iaitu Emas, Perak dan Gangsa.

Murid-murid yang menerima anugerah tersebut menerima pin untuk di sematkan dibaju sebagai motivasi kepada murid dan mereka turut menerima sijil penghargaan. Pin tersebut telah disematkan oleh Tn. Hj. Ruslan Madon selaku Guru Besar SK Setiawangsa. Murid-murid tersebut juga berpeluang makan bersama guru besar... tapi kat kantin jer...

Saya mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang telah berjaya menerima anugerah tersebut. Di harapkan murid-murid lain akan memberi saingan pada ujian dan peperiksaan akan datang.

Anugerah ini wajar diteruskan bagi memastikan murid sentiasa bersemangat dan bermotivasi untuk belajar.

Ahad, 19 Julai 2009

UPSR Belum Dicadang Untuk Dihapuskan

Kerajaan belum bercadang memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun ia dilihat tidak lagi relevan dalam sistem pendidikan negara yang dinamik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, Beliau berkata UPSR masih boleh digunakan sebagai asas penilaian tetapi dengan sedikit pengubahsuaian terhadap peperiksaan itu dari segi weightage.

"Mungkin weightage dikurangkan daripada 100 kepada 30 atau 40 peratus. Yang lain akan ambil kira pelajaran sejarah. Jadi, tidaklah lari daripada apa yang sedang dilaksanakan," (Petikan BH)

Nampaknya betullah pandangan saya bahawa UPSR masih relevan. Saya sangat setuju dengan beliau untuk meneruskan lagi UPSR sebagai untuk penilaian murid ditahap rendah.

Saya cuma berharap kerajaan dapat mengkaji bebanan subjek yang begitu banyak di sekolah rendah yang memungkinkan pelbagai permasalahan timbul seperti hilang tumpuan dan minat datang ke sekolah kerana apa yang saya lihat sekarang... subjek yang diajar terlalu banyak. Sehingga niat ke sekolah untuk belajar kini hanya luahan kata sahaja sedang hati tidak begitu.

Faktornya adalah budak-budak ini masih kecil dan tidak selayaknya diberi bebanan yang banyak. Ini kerana sedangkan orang yang lebih dewasa juga tidak sanggup menerima bebanan yang banyak apatah lagi budak kecil. Apabila bebanan kerja banyak mulalah berasa tertekan.

Sebelum menjadi guru dulu, saya sudah terbayangkan bahawa pada zaman ini murid tidak lagi perlu membawa beg ke sekolah. Kalau pun ada saya beranggapan buku yang dibawa adalah sedikit sahaja. Namun anggapan saya itu meleset sama sekali kerana apa yang saya lihat kini sebaliknya berlaku. Sebagai bukti bilangan mata pelajaran bagi peringkat sekolah rendah semakin bertambah, buku teks bertambah, buku laporan juga turut bertambah termasuklah yang terbaru buku segak.

Apabila matapelajaran bertambah sekaligus penggunaan buku juga bertambah banyak menyebabkan ibubapa terpaksa mengeluarkan sejumlah wang yang lebih banyak berbanding dulu akibat terpaksa menanggung kos alatan atau bahan untuk beberapa subjek tambahan. Jadi secara tak langsung bukan sahaja murid yang tidak berminat tetapi berani saya katakan guru-guru sendiri juga luntur minatnya apabila bebanan bertambah dari tahun ke tahun.

Pada pandangan saya sivik adalah salah satu subjek yang wajar dimansuhkan. Ini kerana nilai sivik sudah terdapat dalam Pendidikan Agama atau Moral dan secara tidak langsung beban murid terkurang. Sekiranya matapelajaran sivik tidak wujud, murid boleh diberi lebih perhatian terhadap matapelajaran agama yang mana pasti ada nilai-nilai sivik di dalamnya. Sebagai mengukuhkan lagi hujah saya.. sebenarnya sivik juga ada diterapkan di dalam aktiviti Kokurikulum.

Selain itu, bebanan guru juga semakin bertambah di mana tugas utama guru bukan lagi seperti dulu iaitu mengajar tetapi guru juga dilihat sebagai pengumpul, pencatat, pengisi dan penghantar data.

Jadi saya berharap kementerian pelajaran dapat mengadakan perbincangan lebih mendalam terhadap bebanan murid, ibubapa dan guru terlebih dahulu berbanding permansuhan UPSR. Tapi kalau matapelajaran agama islam dijadikan sebagai subjek yang dinilai dalam upsr.. saya angkat tangan dulu tanda setuju... apapun ini pendapat sahaja...

Soh Rakan Se Maktab

Wanita yang berbaju putih ni (Soh Sher Wei) kira kawan jugak lah dengan saya. Sebab dia ni satu batch dengan saya ketika menuntut di Maktab Perguruan Batu Pahat..
Memang kenal sangat ler dia ni lagipun 3 tahun duduk kat maktab tu... tambahan pula saya antara yang rapat dengan bebudak Pengajian Cina/Kemahiran Hidup nie... dan satu lagi waktu pendidikan Jasmani kitorang akan berkumpul bersama dengan satu pensyarah yang sama iaitu Pn czarina Law.... best rasanya masa tu... macam nak kembali semula ke sana... lagipun dia exco JPP kat maktab... tu yang familiar sangat tu...

Diorang sumer jenis sempoi dan suka bergurau jugak... tapi tak sangka pulak dia boleh jadi popular sebab kematian bakal suaminya, Teoh Beng Hock iaitu setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, exco pembangunan kampung baru Selangor, yang ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Walaubagaimanapun kes ini dalam siasatan. Tapi Kesian ler dekat Soh. Saya nak cadangkan Copie kawan saya kat maktab dulu untuk memikul tanggungjawab sebagai suami kepada dia ni... harap copie setuju..

Nukilan Soh

Beng Hock, kau tiba-tiba pergi tanpa sebarang pesan.

Kau kata, masih banyak yang kita ingin lakukan bersama.

Banyak lagi tempat yang sepatutnya kita kunjungi

Kau kata akan menemaniku sepanjang perjalanan hidup ini

Tapi apa yang harus kulakukan sekarang?

Bagaimana dapat kita bertemu lagi?

Kau sentiasa di ingatanku

Aku selalu mengingatimu... aku mahu dikau kembali, muncul semula di pangkuanku

Dalam beberapa hari ini, aku sentiasa menantimu

Tetapi ia sungguh mengecewakan

Aku hanya ingin tahu sama ada kau selamat, apakah kau menderita?

Jangan biarkan aku terus menunggu? Aku mahu menemuimu sekali lagi. Cukuplah walau sekali.

Bila titisan air mataku tidak dapat menghidupkan dirimu

Aku terpaksa menerima hakikat kau telah pergi buat selama-lamanya

Hari ini, aku masih perlu mengucapkan selamat tinggal

Aku berjanji, aku akan jalani kehidupan seadanya.

Tetapi, kau mesti berjanji sentiasa di sisiku, dan kita bersama-sama membesarkan (bayi ini).

Beng Hock, perjalanan kita berdua dalam hidup ini sudah berakhir.

Tetapi aku berharap, kalaulah ada kehidupan selepas ini, aku amat berharap kita dapat bersama-sama meneruskan perjalanan kita.

Kekasihku, semoga dikau tenang di alam abadi.

Sabtu, 18 Julai 2009

Cadangan Mansuhkan UPSR.. Anda setuju?

Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, mencadangkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan kerana sudah tidak relevan dalam sistem pendidikan negara.

UPSR hanya menjurus kepada konsep pencapaian pendidikan melalui peperiksaan yang memerlukan pelajar lulus subjek tertentu untuk layak ke sekolah berasrama penuh, sekali gus tidak membantu menentukan tahap akademik pelajar.

"UPSR tidak menggalakkan murid mengambil berat untuk mendalami subjek lain yang juga penting seperti Sejarah dan Pendidikan Agama Islam kerana subjek ini tidak menjadi syarat lulus di dalam ujian itu," katanya selepas merasmikan Persidangan Pemuda Umno Bahagian Cheras, hari ini. (Petikan Berita Harian)

Apa pandangan anda? setuju dimansuhkan UPSR atau sebaliknya.....


Pada pandangan saya teruskan sahaja... demi untuk kebaikkan anak-anak generasi masa depan... Sekurang-kurangnya melalui pencapaian UPSR kita dapat mengukur prestasi sepanjang menjalani pendidikan di sekolah rendah.

Sewajarnya ia diteruskan dengan menambah beberapa subjek penting terutama agama Islam dan moral sebagai salah satu subjek yang dinilai. Ini bertujuan bagi memastikan murid-murid dan guru tidak mementingkan 5 subjek teras sahaja bahkan akan memberi tumpuan samarata terhadap semua subjek yang dipelajari.

Dalam situasi sekarang ini saya lihat tidak berkemungkinan pertambahan subjek akan berlaku memandangkan kos pencetakan kertas dan beberapa lagi kos yang terlibat termasuklah elaun ditanggung oleh kerajaan disebabkan yuran percuma. Namun penjimatan ternyata akan berlaku sekiranya UPSR dimansuhkan.

Pada pandangan saya murid sewajarnya dinilai dari setiap peringkat bagi memastikan mereka sentiasa bersaing untuk melakukan yang terbaik. Sekiranya penilaian ini tidak dilaksanakan diperingkat sekolah rendah, saya kuatir murid dan ibubapa tidak lagi mengendahkan pelajaran anaknya sehinggalah ke peringkat menengah nanti barulah mereka akan menggelabah. Ini sebenarnya telahpun berlaku, di mana ibubapa dan murid sendiri dilihat lebih bersedia apabila peperiksaan UPSR hampir iaitu ketika murid berada di tahun 6. bayangkanlah kalau tidak ada peperiksaan tersebut.

Apapun itu pandangan jer.... sebenarnya kalau nak mansuh tu boleh saya pun setuju... tapi syaratnya ada penilaian lain yang dibuat sebagai ganti kepada pemansuhan tersebut... supaya murid tahu setakat mana pencapaiannya di peringkat kebangsaan bukan diperingkat sekolah sahaja.

Jumaat, 17 Julai 2009

SK Bombalai Lawat SK Setiawangsa

SK Setiawangsa hari ini didatangi oleh guru-guru dari SK Bombalai, Tawau, Sabah. Lawatan yang bertujuan untuk berkongsi idea dalam menjadikan sekolah masing-masing lebih mantap memandangkan sekolah tersebut juga merupakan salah sebuah sekolah yang cemerlang di sabah di bawah pimpinan guru besarnya EN. Hacho Hj. Darman.

Sambutan bagi pihak SK Setiawangsa adalah sederhana sahaja bagi memastikan PnP berjalan seperti biasa. Cuma ada beberapa orang sahaja yang terlibat.. termasuklah saya sendiri. Sebilangan murid turut bersama membuat persembahan menyambut kedatangan tetamu termasuklah persembahan orchestra, choral speaking dan action song.

Bebudak nie tadi mintak di uploadkan gambar dan video kat blog nie... jadi di bawah ni antara paparan yang dapat saya kongsikan.

Beruang ini terpaksa dikipas-kipas kerana kepanasan seperti berada di dalam ais

Siap sedia untuk buat persembahan... sekarang nie tengah menungu pelawat sampai

Cikgu Jusvinder dan Cikgu Rahmatunnisak bergambar bersama murid-murid choral speaking

Murid yang akan membuat persembahan Action Song

Cikgu Rahimi memberi sedikit penerangan berkaitan orchestra kepada tetamu yang hadir

Khamis, 16 Julai 2009

Jadi Remaja Ulangtahun Ke-26

Sudah masuk hari terakhir program manisnya menjadi remaja dilaksanakan. Pendedahan tentang awal remaja dan bagaimamana menjadi remaja yang baik telah diterangkan oleh kaunselor sk setiawangsa iaitu Pn. Mariam dan En. Zamzami.

Biasalah apabila mencecah usia remaja nanti pasti banyak ranjau yang perlu dilalui. Kehidupan ketika itu sangat berbeza di mana kawan adalah segala-galanya. Ibubapa sudah menjadi orang yang kedua atau terakhir pada seseorang remaja. Walaubagaimanapun itu takkan terjadi sekiranya hidup kita sentiasa berpanduan....

Jadi, sangatlah diharapkan murid-murid yang akan menjadi remaja nanti sentiasa hidup dengan berpandukan ajaran agama supaya tidak sesat kemudian hari..

Setinggi syukur ke hadrat Allah s.w.t yang Maha Pencipta dan menakhluki sekalian alam ini. Al-Fatihah kutitipkan buat arwah mak (Gayah binti Hassan) yang tersayang. Hari ini genaplah usia saya yang ke-26 tahun. Siapalah saya tanpa mak. Sesungguhnya mak saya sendiri telah menderita sepanjang mengandung dan membesarkan saya. Mana taknya.. nak melayan kerenah saya ketika itu..

Takpelah... nak buat macam mana itu dah tanggungjawab mak... tapi apa pula tanggungjawab saya sebagai anak? sudah tentu saya nak membalas jasa mak dan abah yang pastinya tak terbalas... Mak sudah pergi namun rindu ini tetap bersama.. sampai bila pun saya akan terkenangkan wajah mak.. tidak ada orang yang sehebat mak.. tanpa mak dan tunjuk ajarnya suatu tika dulu... takkan saya berada di sini berpijak dibumi yang nyata ini..

Hari ini takde aktiviti penting... jadi petang nanti nak pergi ziarah kubur arwah mak... dah 2 bulan tak ziarah...

Tadi terbaca kat ruangan sembang... ada nama copie... copie tu rakan sekelas waktu menuntut di maktab batu pahat dulu... ingat pulak dia hari jadi saya.... mana taknya dia pun lahir pada bulan sama... tapi saya tak ingat pulak hari jadi dia... kejam betulkan?

Rabu, 15 Julai 2009

Paku Di Dinding

Entah kenapa hari ni takde idea nak buat catatan kat blog ni... tapi takpelah ada cerita pasal paku di dinding... boleh ler nkorang baca...

Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.

"Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut. "

Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu" jawab ayahnya.

Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut.

Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun. Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.

Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata "Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kesah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal.