Kerajaan belum bercadang memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun ia dilihat tidak lagi relevan dalam sistem pendidikan negara yang dinamik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebaliknya, Beliau berkata UPSR masih boleh digunakan sebagai asas penilaian tetapi dengan sedikit pengubahsuaian terhadap peperiksaan itu dari segi weightage.
"Mungkin weightage dikurangkan daripada 100 kepada 30 atau 40 peratus. Yang lain akan ambil kira pelajaran sejarah. Jadi, tidaklah lari daripada apa yang sedang dilaksanakan," (Petikan BH)
Nampaknya betullah pandangan saya bahawa UPSR masih relevan. Saya sangat setuju dengan beliau untuk meneruskan lagi UPSR sebagai untuk penilaian murid ditahap rendah.
Saya cuma berharap kerajaan dapat mengkaji bebanan subjek yang begitu banyak di sekolah rendah yang memungkinkan pelbagai permasalahan timbul seperti hilang tumpuan dan minat datang ke sekolah kerana apa yang saya lihat sekarang... subjek yang diajar terlalu banyak. Sehingga niat ke sekolah untuk belajar kini hanya luahan kata sahaja sedang hati tidak begitu.
Faktornya adalah budak-budak ini masih kecil dan tidak selayaknya diberi bebanan yang banyak. Ini kerana sedangkan orang yang lebih dewasa juga tidak sanggup menerima bebanan yang banyak apatah lagi budak kecil. Apabila bebanan kerja banyak mulalah berasa tertekan.
Sebelum menjadi guru dulu, saya sudah terbayangkan bahawa pada zaman ini murid tidak lagi perlu membawa beg ke sekolah. Kalau pun ada saya beranggapan buku yang dibawa adalah sedikit sahaja. Namun anggapan saya itu meleset sama sekali kerana apa yang saya lihat kini sebaliknya berlaku. Sebagai bukti bilangan mata pelajaran bagi peringkat sekolah rendah semakin bertambah, buku teks bertambah, buku laporan juga turut bertambah termasuklah yang terbaru buku segak.
Apabila matapelajaran bertambah sekaligus penggunaan buku juga bertambah banyak menyebabkan ibubapa terpaksa mengeluarkan sejumlah wang yang lebih banyak berbanding dulu akibat terpaksa menanggung kos alatan atau bahan untuk beberapa subjek tambahan. Jadi secara tak langsung bukan sahaja murid yang tidak berminat tetapi berani saya katakan guru-guru sendiri juga luntur minatnya apabila bebanan bertambah dari tahun ke tahun.
Pada pandangan saya sivik adalah salah satu subjek yang wajar dimansuhkan. Ini kerana nilai sivik sudah terdapat dalam Pendidikan Agama atau Moral dan secara tidak langsung beban murid terkurang. Sekiranya matapelajaran sivik tidak wujud, murid boleh diberi lebih perhatian terhadap matapelajaran agama yang mana pasti ada nilai-nilai sivik di dalamnya. Sebagai mengukuhkan lagi hujah saya.. sebenarnya sivik juga ada diterapkan di dalam aktiviti Kokurikulum.
Selain itu, bebanan guru juga semakin bertambah di mana tugas utama guru bukan lagi seperti dulu iaitu mengajar tetapi guru juga dilihat sebagai pengumpul, pencatat, pengisi dan penghantar data.
Jadi saya berharap kementerian pelajaran dapat mengadakan perbincangan lebih mendalam terhadap bebanan murid, ibubapa dan guru terlebih dahulu berbanding permansuhan UPSR. Tapi kalau matapelajaran agama islam dijadikan sebagai subjek yang dinilai dalam upsr.. saya angkat tangan dulu tanda setuju... apapun ini pendapat sahaja...