Mulai hari ini semua guru menghadiri mesyuarat yang akan berlangsung sehingga Rabu sebelum memulakan sesi orientasi murid tahun 1 pada hari Khamis 31.12.2009 dan seterusnya sesi awal persekolahan yang akan bermula pada 4.12.2009. Seperti biasa pelbagai input yang diberi sepanjang berlangsungnya mesyuarat sebagai panduan untuk melaksanakan tugas dengan lancar pada tahun 2010 nanti.
Bagi SK Setiawangsa seramai lebih kurang 15 orang guru baru akan berpindah masuk ke sini bagi menggantikan guru-guru yang telah bertukar juga memenuhi kuota guru memandangkan pertambahan 2 buah kelas bagi setiap aliran. Blok baru iaitu blok E dan F telah siap dan boleh digunakan untuk tahun hadapan. Ini bermakna murid akan berasa lebih selesa berbanding sebelumnya terutama dengan adanya pertambahan sebuah lagi dewan.
Seperti tiap-tiap tahun sebelumnya sesi orientasi tahun 1 akan menjadi fokus utama bagi permulaan sesi sebelum bermulanya 2010. Semua guru akan bertugas pada hari tersebut bagi menjayakan majlis orientasi yang mana pada hari tersebut para ibubapa murid tahun 1, bukan sahaja berurusan untuk membayar yuran bahkan akan menerima pinjaman buku teks dan juga mendengar sedikit taklimat daripada pentadbir dan juga wakil PIBG. Diharapkan segala yang dirancang nanti akan berjalan lancar.