Bersedia melangkah megah Walaupun sukar bakti kucurah
Demimu ibu pertiwi Sumpah kulafaz janji kukota
Berikrar eratkan bangsa Kukuhkan cinta kepada negara Berjasa terus berjasa Menyebarkan ilmu tiada batasnya
Guru Pembina Negara Bangsa Gagah perjuangkan visi negara Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa Demi agama dan nusa tercinta
Guru Pembina Negara Bangsa Tetap unggul senadakan suara Sehaluan menggapai matlamatnya Cemerlang dan gemilangkan Malaysia
Terima kasih cikgu yang mengajarku membaca Terima kasih cikgu yang mengajarku menulis Terima kasih cikgu yang mengajarku melukis Terima kasih cikgu yang mengajarku mewarna Terima kasih cikgu yang mengajarku mengira Terima kasih guru yang mengajarku erti hidup Terima kasih guru yang mengajarku mengenal diri
Terima kasih guru terawal – ibu dan ayah Terima kasih guru muqaddam Terima kasih guru tadika Terima kasih cikgu sekolah Terima kasih pensyarah Terima kasih guru sejati
Kepada murid2 yang berguru denganku, teruskan usaha menimba ilmu, jangan putus asa dan berasa jemu, kena marah biasala buat jer tak tahu, nama pun cikgu, marah2 memang hobiku, tanda sayang dan kasihku padamu.
Tanpa kamu siapalah cikgu, tanpa cikgu siapalah kamu, kamu dan cikgu perlu bersatu, barulah berkat segala ilmu, boleh diguna sebagai lampu, penyuluh kegelapan masa nak lalu.
Bertanyalah selalu kalau tak tahu, janganlah segan dan juga malu InsyaAllah cikgu akan membantu, lagipun ilmu itu bukanlah milik cikgu, ilmu itu milik yang SATU, perantaranya adalah kau punya cikgu, cikgu tu pula termasuklah aku, hehehe.. huhuhu.
Kalau cikgu kedekut ilmu, samalah cikgu macam hantu, ada sesuatu yang cikgu nak bagitahu, cikgu peminat Chelsea bukannya Man U, sungguhpun begitu cikgu tetap cikgu, walaupun kau tak suka dengan caraku, peduli apa aku tetap begitu. apapun I Love all of U n Hope U all love Me too.
Macam biasa setiap tahun mesti ada perkhemahan.. dan tiap perkhemahan ada perubahan dan perbezaannya. Bagi saya ianya peluang untuk menambah pengalaman dan juga ilmu pengetahuan. Perkhemahan juga memberi kesempatan untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama rakan sekerja dan mengenali murid-murid serta karenah mereka dengan lebih dekat.
Perkhemahan kali ini tidak seperti tahun yang lepas.. penglibatan saya bukanlah 100% mungkin 60% sahaja dalam aktiviti yang dijalankan. Ini disebabkan diletakkan sebagai jawatankuasa pendokumentasian. Apapun rakan2 yang terlibat dalam melaksanakan segala aktiviti dilihat memberi komitmen yang begitu baik. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.
Butiran aktiviti yang dapat saya kongsikan bersama pembaca adalah seperti laporan dan rakaman video dibawah :-
Bermula pada 12 Mac hingga 14 mac 2010 satu siri perkhemahan bersepadu telah dijalankan yang melibatkan murid tahun 4 sahaja. Perkhemahan bersepadu ini melibatkan setiap unit beruniform termasuklah pengakap, tunas kadet remaja sekolah, PBSM, tunas puteri dan juga puteri Islam. Perkhemahan kali ini sudah tentunya memberi pengalaman yang berbeza berbanding siri-siri perkhemahan yang lepas. Perjalanan aktiviti adalah seperti berikut:
Tempat :Impian Country Resort, Hulu Langat, Selangor Tarikh :12 hingga 14 Mac 2010 Penglibatan :102 orang murid tahun 4(3 buah bas), Pengakap, TKRS, Tunas Puteri, PBSM dan Puteri Islam. Aktiviti :Pecah bendungan, membina logo, muhasabah diri, Malaysia Cergas, orientering, pertolongan cemas, nyanyian lagu kanak2, Kim Games, ikatan dan simpulan, merentas hutan dan sungai dan merempuh halangan.
Hari/malam pertama perkhemahan(12 Mac):-
2.10 petang : Peserta mendaftarkan diri ditemani ibubapa di dewan blok B. Mereka turut diberi taklimat berkaitan perjalanan yang melibatkan 3 buah bas. Seterusnya agihan peserta mengikut kumpulan bas 1, 2 dan 3. Murid kemudian bergerak ke bas masing-masing diketuai oleh guru.
3.30 petang : Perjalanan dimulakan, masa untuk sampai ke destinasi perkhemahan tidak mengambil masa yang lama. Semasa dalam perjalanan murid kelihatan seronok dan teruja untuk berkhemah.
4.30 petang : Tiba di destinasi, syukur semuanya selamat. Para peserta beratur dan terus dibawa ke dewan untuk sesi taklimat berkaitan tapak perkhemahan, aktiviti, dan peraturan sepanjang berada disini. kemudian murid diagihkan mengikut kumpulan khemah. Seramai 4 orang murid dimuatkan dalam satu khemah.
5.30 petang : Selepas selesai menyimpan barang-barang di khemah, Kemudiannya mengambil wuduk untuk menunaikan solat asar. Para peserta menikmati minum petang.Selesai minum petang murid dibenarkan untuk mandi dan mengurus diri masing-masing.
7.00 malam : Murid berkumpul kembali di dewan untuk menunaikan solat maghrib dan mendengar tazkirah daripada Ustaz Razi. Selesai tazkirah, urusetia dan peserta menunaikan solat isya'.
9.00 malam : Aktiviti pecah bendungan, membentuk kumpulan murid, melantik ketua kumpulan, Penghulu dan Penghuluwati. Sejurus selesai aktiviti membina logo kumpulan dibantu oleh fasilitator yang terdiri daripada guru2 bagi setiap kumpulan.
11.00 malam : Aktiviti diteruskan dengan 'night walk'.. bermula dengan muhasabah diri berdekatan kawasan hutan.. aktiviti night walk walaubagaimanapun terpaksa dibatalkan demi keselamatan murid akibat hujan yang lebat. Plan b terpaksa digunakan, para peserta diajar tapukan dan nyanyian lagu kanak-kanak.
12.00 malam : Para peserta minum malam dan kembali ke khemah untuk tidur. Guru2 yang terlibat memantau pergerakan peserta sehingga mereka tidur nyenyak. Fasilitator berkumpul di dewan untuk mendengar taklimat ringkas daripada Kem Komanden berkaitan aktiviti seterusnya.
Hari/malam kedua perkhemahan(13 mac):-
5.30 pagi : Para peserta bangun bersiap untuk menunaikan solat subuh. Berkumpul di dewan, berzikir dan menunaikan solat subuh. Kembali semula ke khemah seterusnya bersiap untuk aktiviti malaysia cergas.
7.00 pagi : Ketua setiap kumpulan terlebih dahulu melaporkan kekuatan anggota. Seterusnya nyanyian lagu negaraku dan lagu sekolah dimulakan. Kemudian aktiviti "Malaysia Cergas" dimulakan dengan iringan muzik. Selesai aktiviti tersebut murid bersarapan pagi.
8.30 pagi : Para peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan. kumpulan pertama memulakan aktiviti oriantering manakala kumpulan kedua memulakan aktiviti pertolongan cemas.
10.30 pagi : Para peserta kembali berkumpul di dewan melaporkan kekuatan anggota. Kem komanden membuat pemeriksaan bendera bagi memastikan setiap kumpulan tidak meninggalkan atau menghilangkan bendera mereka. Kumpulan yang kehilangan bendera didenda.
11.00 pagi : Sedikit aktiviti nyanyian kemudian disusuli oleh taklimat tentang aktiviti yang akan dijalankan seterusnya. Selesai taklimat murid makan tengahari dan membersihkan pinggan dan cawan yang mereka gunakan.
12.00 tengahari : para peserta pulang ke khemah, membersihkan khemah dan bersiap sedia untuk menunaikan solat zohor.
2.00 petang : Taklimat ringkas berkaitan aktiviti Kim Game. Permainan ini dijadikan satu pertandingan. Setiap kumpulan perlu mengumpul markah tertinggi untuk mendapat hadiah bagi tempat pertama hingga ketiga dalam permainan stesyen ini.
4.00 petang : Para peserta kembali ke dewan, melaporkan kekuatan anggota. Minum petang dan bersiap untuk menunaikan solat asar.
5.15 petang : Taklimat berkaitan aktiviti merentas hutan. Aktiviti merentas hutan dimulakan dengan kesemua peserta melibatkan diri. Aktiviti ini dianggap mencabar dan menguji ketahanan fizikal dan mental murid. Para peserta dikehendaki melalui liku-liku yang mencabar, mendaki malalui laluan berair, menuruni cerun yang curam menggunakan tali yang disediakan dengan dibatu olah urusetia. Semasa pertangahan perjalanan hujan tiba-tiba turun. tidak terlalu lebat, aktiviti diteruskan. Kesemua murid berjaya tiba di destinasi terakhir untuk mandi sungai.
7.00 malam : Para peserta mengurus diri dan khemah kemudian berkumpul di dewan untuk makan malam, menunaikan solat maghrib, tazkirah daripada ustaz shauki dan solat isya'.
9.00 malam : Aktiviti ikatan dibimbing oleh guru praktikum, cikgu syed azlan dan khairil ezwan. Beberapa jenis ikatan telah diajar kepada para peserta. Guru2 lain turut sama membimbing para peserta yang duduk secara berkumpulan. Akibat aktiviti merentas hutan yang cukup mencabar petang tadi, beberapa orang murid terpaksa direhatkan daripada menjalani aktiviti. 10.30 malam : Para Peserta kembali berkumpul dalam kumpulan dan melaporkan kekuatan anggota. Aktiviti seterusnya adalah nyanyian lagu kanak-kanak diketuai oleh cikgu farzarul. Tn. Hj. Ruslan madon turut kelihatan ketika ini dan turut serta mempersembahkan sebuah pantun ketika menyanyikan lagu suriram. Beberapa jenis permainan turut dimainkan dan beberapa orang guru turut berkesempatan membuat persembahan spontan.
12.00 malam : Para peserta diberikan taklimat untuk aktiviti seterusnya. Minum malam dan pulang ke khemah untuk tidur.
Hari ketiga perkhemahan(14 Mac):-
5.30 pagi : Para peserta bangun dari tidur dan mengurus diri dan khemah. Seterusnya berkumpul di dewan untuk menunaikan solat subuh.
7.00 pagi : Berkumpul di padang, lapor diri, nyanyian lagu negaraku dan lagu sekolah. Selesai nyanyian aktiviti Malaysia Cergas dimulakan. Senaman pagi diiringi muzik latar poco-poco dan chicken dance. Selesai sahaja para peserta berbaris untuk mendapatkan sarapan pagi.
8.00 pagi : Taklimat daripada Kem Komanden serta pemeriksaan bendera kumpulan dan aktiviti refleksi daripada para peserta dan guru2.
9.00 pagi : Aktiviti Merempuh halangan dimulakan. Antara halangan yang dilalui termasuklah memanjat tembok, merangkak melalui kawat berduri, lompat kangroo, memanjat bukit menggunakan tali, jalan berliku, bergayut pada tali dan merangkak pada laluan berair. Para peserta mandi sungai dengan diawasi oleh guru-guru.
10.30 pagi : Para peserta pulang ke khemah untuk pengurusan diri, mengemas barang-barang, mengumpul barang-barang di belakang dewan.
12.00 pagi : Para peserta berkumpul di dewan, melapor diri, seterusnya majlis penutup dimulakan. En. Sukardi selaku GPK Kokurikulum menutup secara rasmi PBUB Tahun 4 2010. Hadiah turut disampaikan kepada para pemenang.
1.00 tengahari : para peserta menikmati makan tengahari. Selesai makan basuh pinggan dan terus bersiap untuk pulang.
2.00 petang : Perjalanan pulang ke SK Setiawangsa dimulakan. Para peserta dilihat begitu kepenatan hanya tidur di dalam bas sepanjang perjalanan. Tiba di SK Setiawangsa tepat jam 3 petang.
Rumusan : Aktiviti yang dijalankan mencapai matlamatnya. Segala aktiviti berjalan lancar dengan kerjasama ibubapa, para peserta dan guru-guru selaku urusetia yang cukup baik. bagi menambahbaik perjalanan aktiviti pada perkhemahan akan datang satu mesyuarat khas "post mortem" akan diadakan tidak lama lagi.
Berakhir bulan Januari kini berada di bulan Febuari.. Tak sangka pula dalam enjin carian blog ini meningkat kepada 12 500 daripada 7 600 sebelumnya... terharu pula rasanya... ramai pula yang berharap blog ini dapat hidup kembali. Sekali lagi saya maklumkan bahawa blog ini sedang dilumpuhkan atau tidak dikemaskini. Walaubagaimanapun segala maklumat yang lepas-lepas bolehlah dikongsi kalau mahu.
Seusai mesyuarat, saya, Adam, Azeze dan Raisam berkesempatan untuk bermain bowling di Wangsa Walk.... huhhh memang tepat hari yang dipilih... dapat lepaskan barang sedikit tekanan... Hari ini kami bermain secara santai sahaja... masa yang diambil lebih kurang 2 jam setengah...
Mulai hari ini semua guru menghadiri mesyuarat yang akan berlangsung sehingga Rabu sebelum memulakan sesi orientasi murid tahun 1 pada hari Khamis 31.12.2009 dan seterusnya sesi awal persekolahan yang akan bermula pada 4.12.2009. Seperti biasa pelbagai input yang diberi sepanjang berlangsungnya mesyuarat sebagai panduan untuk melaksanakan tugas dengan lancar pada tahun 2010 nanti.
Bagi SK Setiawangsa seramai lebih kurang 15 orang guru baru akan berpindah masuk ke sini bagi menggantikan guru-guru yang telah bertukar juga memenuhi kuota guru memandangkan pertambahan 2 buah kelas bagi setiap aliran. Blok baru iaitu blok E dan F telah siap dan boleh digunakan untuk tahun hadapan. Ini bermakna murid akan berasa lebih selesa berbanding sebelumnya terutama dengan adanya pertambahan sebuah lagi dewan.
Seperti tiap-tiap tahun sebelumnya sesi orientasi tahun 1 akan menjadi fokus utama bagi permulaan sesi sebelum bermulanya 2010. Semua guru akan bertugas pada hari tersebut bagi menjayakan majlis orientasi yang mana pada hari tersebut para ibubapa murid tahun 1, bukan sahaja berurusan untuk membayar yuran bahkan akan menerima pinjaman buku teks dan juga mendengar sedikit taklimat daripada pentadbir dan juga wakil PIBG. Diharapkan segala yang dirancang nanti akan berjalan lancar.
Tatkala liku berliku terharungi Badai ditempuh penuh reaksi Mengharap pelangi indah nan berseri Insyaallah 2010 ia menjelma nanti
Aku ... bukanlah Mat Jenin yang hanya berangan dihujung titi Hanya mengharapkan apa yang belum pasti Makhluk yang lemah meminta-minta pada yang HAKIKI. Walaupun pelangi yang diminta Petir yang diberi Tetap syukur kutadah merendahkan dahi..
Jika aku senang ada yang lebih senang dari ini Jika aku susah ada yang lebih susah tak terperi Sejak dulu aku telah berjanji Tiada sesal sekali-kali terpahat di hati Apa yang berlaku adalah segala yang diuji Ada hikmahnya itulah rezeki
Azam perlu terus dikecapi Azam ku anggap seperti pelangi Menjadi panduan langkahan kaki Walaupun longlai tak mampu berlari Tetap berusaha menggapai pelangi
Kata orang tiada mustahil dalam dunia ini Mustaqqim adalah dekat universiti Belajar jurusan perubatan nak jadi doktor gigi Hah... apa yang aku merepek ni
Begitu indah pelangi nan berseri Tidak selalu singgah di bumi Hanya seketika memberi seri Mengharapkan aku terus mengejarnya sendiri Akan ku kejar walaupun tak dapat itu pasti..
Bermula esok tinggal lagi 6 hari saja lagi untuk kita menghabiskan sisa-sisa tahun 2009 yang penuh dengan pancaroba... saya yakin tahun 2009 ini banyak memberi kesan tidak baik terutama dari segi kewangan masyarakat di malaysia tambahan pula dengan masalah kemeseletan ekonomi dunia yang masih lagi tidak pulih sepenuhnya. Tidak kurang juga beberapa perkara baik telah berlaku dalam tahun 2009 ini. Biasalah hidup ini.... ada masam, masin, pahit dan sebagainya.. apapun yang baik jadikan sempadan manakala yang buruk jadikan sempadan pengajaran...
Eloklah adanya jika kita dapat meluangkan masa merenung seketika apa yang telah berlaku pada tahun ini sama ada perlu diteruskan atau ditinggalkan... mana yang baik eloklah diteruskan dan dipertingkatkan... manakala yang tak baik tu buanglah jauh-jauh..... macam-macam cara ada untuk kita buang apa yang tidak elok... contoh yang saya pernah praktikan menulis segala perkara yang nak ditinggalkan... masukkan dalam botol... kemudian campak kat laut... tapi jangan sampai orang nampak.. nanti dia kata kita buang jin pulak..
Tidak kurangnya saya sendiri tahun ini 2009 bukanlah tahun terbaik bagi saya.. saya harap tahun hadapan menjanjikan terbaik...
Semoga tahun 2010 menjanjikan kebahagian dan rezeki berkat yang melimpah ruah. Teruskan Ber... Doa + Usaha + Ikhtiar + Tawakal..
Mulai tahun 2010.. Bayaran untuk sesi persekolahan baru yang akan bermula pada 3 dan 4 Januari depan ditetapkan RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 murid sekolah menengah di seluruh negara.
Pecahan bayaran bagi sekolah rendah ialah RM3 untuk kokurikulum, kertas ujian dalaman (RM6), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam untuk murid beragama Islam atau Pendidikan Moral untuk bukan beragama Islam (RM6), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (RM2) dan Insurans Takaful (RM1.50).
Bagi sekolah menengah pula, bayaran kokurikulum RM6, kertas ujian dalaman (RM10), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral (RM6), MSSM (RM4) dan Insurans Takaful (RM1.50).
Bagaimanapun, sebarang bayaran tambahan lain bergantung kepada persetujuan pihak sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka dan ia perlu dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing. Pihak sekolah hanya dibenarkan mengutip sumbangan PIBG berdasarkan satu keluarga satu bayaran tanpa mengambil kira bilangan anak di sekolah yang sama.
Meniti laluan ke tahun 2010 suatu yang agak genting bagi golongan dewasa... terutamanya mereka yang berada di dalam golongan yang sederhana, susah, payah dan sebagainya.. sebenarnya kaya atau kayap adalah berpaksi kepada pengurusan kewangan kita... dalam soal wang pengurusan amat penting... bukan mudah untuk mengurus dek kerana kita sentiasa dipengaruhi oleh nafsu tamak, lagak, gelojoh...
Semua orang tahu hidup ini umpama putaran roda yang sentiasa berputar.. kita tidak tahu bila masa kehidupan kita akan berada di bawah di tengah atau di atas.. adakah kekal di atas atau akan jatuh merudum ke bawah???... dek kerana itulah kita perlu merancang satu bajet atau belanjawan sepanjang tahun.. bagi yang berkeluarga eloklah mengadakan satu mesyuarat khas belanjawan keluarga bersama suami, isteri pertama, kedua, ketiga dan keempat kalau ada.. bagi memastikan perbelanjaan sentiasa berada di atas landasan yang tepat dan tidak tergeser atau terkeluar nanti..
Belanjawan perlu berfokuskan kepada pengeluaran wang dan juga kemasukan wang... kebanyakan masyarakat di dunia ini lebih berfokuskan kepada pengeluaran wang semata-mata... Antara fokus pengeluaran wang termasuklah... sewa rumah, segala bil, segala cukai, segala pinjaman, segala yuran termasuk yuran kelab, perbelanjaan keperluan harian, perbelanjaan kehendak dan macam-macam lagi.. kebanyakannya berbelanja mengikut kehendak berbanding keperluan.. apapun utamakan keperluan terlebih dahulu daripada kehendak... "Pentingkan yang lebih penting daripada yang penting... kerana yang lebih penting itu lebih penting daripada yang penting" Jika tidak kita sendiri yang pening.. fikirkanlah..
Tahun ini sahaja di kawasan tempat tinggal saya, lebih 20 buah rumah telah dilelong akibat masalah tunggakan daripada peminjam... huhu.. terkilan.. tapi inilah pengajaran yang perlu kita ambil ikhtibar... kita tidak selalunya senang... oleh itu suka saya mengingatkan diri saya sendiri dan anda juga untuk sama-sama merancang perbelanjaan dan menyimpan duit tabungan untuk masa hadapan.. Ini bukan berfokus kepada orang tour atau dewasa sahaja.. tetapi juga remaja dan budak-budak.. menabung dapat meringankan beban kita apabila berada dalam kesusahan nanti... Pengajarannya dalah kita perlu menyimpan untuk kecemasan dan juga untuk masa hadapan..
Ini sajalah coretan saya... yang selebihnya anda renung-renung dan fikirkanlah...
tema belanjawan saya tahun ini.. "menabung harus selalu, belanja jika perlu"
Bahagia dan selesa lebih baik daripada kaya tapi pening kepala...
Cuti sekolah akan berkahir tidak lama lagi.. pelbagai aktiviti yang telah berlaku sepanjang cuti ini.. termasuklah beriadah, balik kampung, bersiar-siar, melancong dan sebagainya... dihari-hari akhir menjelang 2010.. pastinya kesesakan berlaku dipusat-pusat membeli belah.. mana taknya.. ibubapa dan anak-anak sibuk membeli-belah pakaian sekolah serta alat-alat tulis yang berkaitan..
Apapun seeloknya dicatat dulu apa saja keperluan yang diperlukan untuk dibeli.. supaya tidak tertinggal barang yang sepatutnya dibeli.. biasalah.. pensil 2B, pembaris, pemadam, warna air, warna pensil, warna crayon, kotak pensil dan sebagainya...
Dalam keghairahan menyiapkan barang-barang keperluan untuk kegunaan persekolahan tahun hadapan.. apa yang dianggap sangat penting untuk dilakukan sekarang adalah merangka jadual persendirian... tidak kiralah murid yang akan menghadapi UPSR atau tidak... seharusnya semua mempunyai jadual persendirian.. iaitu jadual belajar dirumah yang mana perlu kita tetapkan dan berazam untuk mengikuti sepenuhnya jadual yang telah dirangka... dalam jadual tersebut kita perlu merangka bila waktu untuk kita menyiapkan kerja sekolah, bila waktu untuk kita mengulangkaji mata pelajaran dan sebagainya...
Apapun selamat membuat persiapan untuk tahun hadapan dan semoga kita semua akan lebih berjaya serta mencapai segala azam yang kita tanamkan pada tahun hadapan.. walaupun Ustaz Azam sudah bertukar ke felda..
Assalamualaikum w.b.t buat kalian semua. Alhamdulillah hingga ke hari ini kita dapat lagi menghirup oksigen di bumiNya. Sehingga kini kita masih lagi terus dibenarkan menumpang di bumi yang luas lagi indah ini.
Sesungguhnya hari ini amat bermakna buat kita seluruh umat Islam di muka bumi ini kerana hari ini merupakan ulangtahun maal hijrah yang ke 1431. Tatkala saat meniti saat, minit berganti minit, jam bertukar jam, hari bersilih ganti, bulan melangkau bulan, tahun demi tahun, sedar tidak sedar kita semakin dewasa untuk terus melalui ranjau, onak duri, liku-liku, rintangan, halangan, kekangan dan sebagainya.
HIJRAH... suatu yang bukan mudah bagi semua umat manusia.. sejujurnya bagi saya bukan mudah untu berhijrah... namun dengan kekuatan iman yang ada kita harus cuba untuk terus berhijrah.. walaupun sedikit hijrah yang dilakukan.. yang pentingnya adalah usaha untuk berhijrah perlu dilakukan..
Dalam melaksanakan hijrah kita perlukan fokus. Bagi rakyat Malaysia hijrah yang terbesar yang dapat saya syor dan fokuskan adalah berhenti merokok. Hijrah ini jika dapat dilakukan pastinya memberi 1001 x 21 x 31 x 41 x 2001 x 5001 x 11121 kebaikan.
Ini kerana dengan merokok kita akan... -memudaratkan diri sendiri dan orang lain... kalau kita marahkan budak bermain mercun.. yang hanya memutuskan jari.. mengapa tidak kita marahkan diri kita yang merokok yang boleh memudaratkan kesihatan kita sendiri dan manusia lain...(*pengalaman-kawan saya telah disahkan sebagai perokok kelas 3... sedangkan dia tidak merokok... puncanya adalah asap yang dihidu) -membazirkan beribu-ribu hinggit... sedar tak sedar berkotak-kotak rokok dah dibeli... silap-silap harganya boleh mencecah harga sebuah kereta, rumah, atau harga hantaran untuk bini n0.2... kalau tak caya kiralah sendiri.. purata harga rokok sehari x 30 x jumlah tahun anda merokok...
Kalau tak merokok pula... -tidak memudaratkan orang lain walaupun diri dimudaratkan... Sebagai khalifah di muka bumi Allah ini telah diingatkan kita untuk menikmati kehidupan di sini dengan selesa tanpa memudaratkan orang lain tetapi perlu sentiasa bantu-membantu dan sentiasa perihatin terhadap segala hal termasuklah kesihatan.. jadi jika kita tidak merokok kita memberi keselesaan pada masyarakat sekitar.. namun jika kita dimudaratkan dengan asap rokok yang berbahaya itu bukan salah kita.. -orang yang tidak merokok adalah orang yang hebat.. letakkan hati sentiasa takut pada Allah.. jika rokok itu makruh atau haram.. mengapa kita tidak elakan saja dari melakukan perbuatan makruh itu.. ini kerana perbuatan makruh yang dilakukan berulang-ulang... akan menjadi ....???? apapun orang yang tidak merokok sebenarnya hebat sebab dapat menahan diri dari perbuatan itu walaupun diajak untuk melakukannya.. -jimat wang hinggit... bagi yang tak merokok duit yang diperolehi dapat dimanfaatkan sebagai tabungan dan sebagainya serta memastikan keberkatan pada setiap duit yang dibelanjakan...
sebenarnya banyak lagi positif dan negatif gejala merokok yang boleh dihuraikan... tapi cukuplah setakat ini.
Syor terbesar yang lain termasuklah berazam untuk melaksanakan tugas dengan lebih berkesan, berlajar dengan lebih gigih untuk mencapai yang terbaik, memperbanyakkan ibadah termasuklah bersedekah dan sebagainya..
Apapun marilah sama-sama kita mengingati peristiwa hijrah rasullullah untuk kita jadikan panduan. Semoga kita dapat melaksanakan hijrah yang kita azamkan sebelum tahun hijrah ini berkakhir .... salam maal hijrah buat semua... sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada ALLAH dan yang buruk dan lemah itu adalah daripada saya sendiri sebagai insan lemah lagi hina ini..
Al-Fatihah buat Rasul Junjungan, Para sahabat Baginda, Guru-guru, Ibubapa, rakan-rakan dan semua umat Islam sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia...
Sudah lama tidak membuat catatan diblog ini... bukan apa... sekadar nak rehatkan otak ini... tak nak banyak sangat berfikir... apapun dalam sepanjang tempoh seminggu ini pelbagai perkara telah berlaku... terutamanya banjir.. banjir ini memang dah jadi bencana alam di Malaysia sejak dulukala lagi... terutama mereka yang menduduki kawasan pantai timur.. namun itu semua ujian Allah.. jadi kenalah terima..
Sepanjang bulan lepas hingga kini... bolehlah saya katakan sebagai bulan musim demam dan selsema.. ya lah kan? disebabkan cuaca di negara kita ni tak menentu.. kejap panas kejap nanti hujan... panasnya bukan kepalang... terik... hujan pula lebat yang amat... jadi kalau nak berekreasi atau beriadah pun kita kena bijak memilih masa yang sesuai.. kalau tidak susahlah dan tak enjoy pulak nanti...
Bermula semalam saya telah hadir ke sekolah bersama beberapa orang guru yang lain... kami kena menjalankan tugas secara bergilir-gilir mengikut tarikh yang ditetapkan.. jadi saya menangguhkan dulu hajat nak ke Melaka... kalau tak ada aral, minggu hadapan saya akan bertolak ke Melaka untuk bercuti di sana dan merehatkan kepala otak ini untuk digunakan pada tahun hadapan terutama dalam misi meningkatkan mutu kerja dan menaiktaraf website sekolah kepada yang lebih baik.. azam tahun depan tu...
Pagi tadi sempat juga hadir ke sekolah untuk bermain ping pong... sebenarnya setiap hari selasa dan khamis kluster ping pong mengadakan latihan sepanjang cuti ini.. jadi mereka yang terlibat mewakili sekolah giat menggandakan latihan..
Gambar Majlis Anugerah Cemerlang juga telah saya perolehi daripada cikgu aman... insyaallah saya akan uploadkan beberapa keping gambar suasana majlis tersebut..
MURID cemerlang Sekolah Kebangsaan Setiawangsa bangga menunjukkan slip keputusan peperiksaan UPSR mereka, semalam. - UTUSAN/ Mohd. Naim Aziz
KUALA LUMPUR 19 Nov. - Gandingan guru berpengalaman menjadi resipi kepada kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa di sini yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
Seramai 94 muridnya mendapat 5A dalam peperiksaan tersebut, yang terbanyak dalam satu sekolah di Wilayah Persekutuan.
Guru Penolong Kanan Satu (1) sekolah itu, Siti Rokiah Salleh, 51, berkata, pendekatan itu berjaya memastikan pelajar mereka mendapat bimbingan terbaik sebelum menghadapi UPSR.
"Cara ini ternyata membuahkan hasil kepada kami sejak tahun lepas lagi, yang mana seramai 118 murid mendapat 5A.
"Pencapaian ini bermakna SK Setiawangsa berjaya mengungguli sebagai sekolah paling ramai 5A buat tahun kedua berturut-turut,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tempat kedua dalam kategori itu ialah SK Bukit Damansara dengan 80 murid dan SK Taman Tun Dr. Ismail 1 (76 orang).
Namun, SK Bukit Damansara diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Terbaik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik dengan catatan 1.31.
Siti Rokiah berkata, mereka merancang untuk mengekalkan prestasi itu pada tahun hadapan.
"Kami tidak akan leka dengan kejayaan ini kerana bagi saya untuk mencipta kejayaan lebih mudah berbanding mempertahankannya,'' jelasnya.
Sementara itu, murid yang mendapat 5A amat gembira dengan pencapaian mereka.
Bagi Nur Sabrina Madzney, 12, dia pada mulanya tidak yakin mendapat 5A memandangkan sedikit lemah di dalam mata pelajaran Sains.
"Namun galakan ibu bapa memberikan saya semangat untuk berusaha bersungguh-sungguh, kejayaan saya ini ditujukan kepada mereka,'' katanya.
Aleena Mokhtar Khairun, 12, pula menyifatkan kelas tambahan di sekolah dan tuisyen banyak membantu kejayaannya.
"Saya memang bersungguh-sungguh mahukan keputusan seperti hari ini dan berusaha mencapainya sejak mula lagi," kata nya.
Hasnol Hadi Hakimi, 12, pula berkata, guru dan ibu bapanya yang harus diberikan penghargaan kerana kejayaannya itu.
"Diharapkan ini langkah pertama dalam mengejar cita-cita saya untuk menjadi seorang doktor," katanya.
Ini adalah video persembahan orchestra SK Setiawangsa pada Malam Majlis Anugerah Cemerlang 2009 tempohari. Video ini adalah ihsan daripada bro kirinto marcello, kredit untuk beliau kerana sudi berkongsi video2 dibawah.. satu lagi persembahan lagu myway... sesiapa ada rakam sudi-sudilah kongsi..
Pada Jam 12.30 tengah hari tadi telah berlangsung satu Majlis lagi bertempat di PWTC KL. Majlis ini adalah bertemakan "Jasamu Dikenang" yang dikelolakan oleh KKGK yang dipengerusikan oleh Cikgu Rosli Juhari.
Inilah SK Setiawangsa, begitu banyak program yang telah dijalankan tetapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Sepanjang tahun ini boleh dikatakan 4 minggu kebelakangan ini merupakan minggu yang paling dan sangat sibuk.. macam-macam perkara berlaku... kalau ikutkan susah nak memastikan program yang dirancang berjalan lancar dengan pelbagai petindihan kerja.. tapi dengan kerjasama yang cukup mantap akhirnya.. hasilnya begitu membanggakan..
3 Majlis besar yang telah berjaya diadakan dengan jayanya termasuklah majlis persaraan, majlis anugerah cemerlang dan majlis jasamu dikenang... sebelum berlangsung majlis yang dimaksudkan sudah pastinya persiapan awal perlu dilakukan.. tetapi pelbagai halangan telah dilalui termasuklah peperiksaan, penyemakkan kertas PKSR, program lawatan sambil belajar, pertandingan ping pong, Intervensi, Semak kertas Intervensi, Pengumpulan markah PKSR 2, penyerahan buku teks, tutup laporan kedatangan, laporan panitia dan macam-macam lagi...
Majlis yang berlangsung tadi memang sesuai diadakan dan dapat melepaskan semua tekanan kerja pada hari-hari sebelumnya. Semua yang hadir dilihat mengukir seribu satu senyuman tanda kepuasan sepanjang menjalankan tugas di SKS.. saya sendiri turut berasa kepuasan.. tahun depan perlu pastikan lebih terbaik dari terbaik yang telah dilakukan.
Bercerita tentang Majlis jasamu dikenang sebenarnya meraikan guru-guru yang telah bersara iaitu Pn. Jusvinder dan. Pn. Khatijah, turut meraikan guru-guru yang bertukar dan menghargai jasa semua guru SK Setiawangsa. Tambah ceria majlis tersebut dengan kehadiran rakan-rakan bekas guru termasuklah cikgu Noor Izam, Cikgu Sheikh dan Ustaz Azam. Manakala wakil PIBG yang turut hadir ialah Dato' Elli selaku YDP bersama timbalan beliau Ir. Hj. Mufid. Banyak lagi nak diceritakan... ini mukadimah sahaja... bersambung esok pula...
Malam Majlis Anugerah cemerlang 2009 yang berlangsung semalam memang sangat mengujakan. 4 Bintang setengah daripada saya. Mejlis yang begitu gilang-gemilang berlangsung dalam keadaan yang begitu meriah. Walaubagaimanapun post mortem terhadap majlis tersebut sangat perlu diadakan bagi menambahbaik majlis sebegini pada masa-masa akan datang.
Malam tersebut merupakan malam yang cukup bersejarah memandangkan ianya pertama kali diadakan di dewan besar di centrum setiawangsa dengan 4 persembahan yang begitu hebat termasuklah Orchestra, Teater, Boria dan Tarian.
Bagi saya, banyak perkara baru yang saya dapati pada majlis tersebut untuk dijadikan panduan apabila melaksanakan majlis sebegini pada masa akan datang.
Tahniah diucapkan kepada semua penerima hadiah termasuklah 94 orang murid yang telah mendapat 5A, Tokoh Kokurikulum, Tokoh Khas dan Tokoh Murid 2009.. Semoga pada masa akan datang SK Setiawangsa dapat menjayakan majlis sedemikian dengan lebih sempurna. Kepada guru yang akan bertukar dan bersara iaitu Pn. Roshimah, Pn. Ainul, En. Zaidi, Puan Puteri, Pn. Jusvinder dan Pn. Khatijah.. Majlis tersebut adalah hadiah terakhir mereka untuk SK Setiawangsa.. huhh semuanya hebat2 belaka... pemergian mereka memanglah suatu yang agak menyedihkan bagi sekolah atas sumbangan yang telah mereka berikan.
Selesai majlis semalam, GB belanja semua makan di restoran berdekatan.. tapi saya tak dapat hadir.. sebab badan sudah mula berasa letih dan mengantuk... apapun tahniah dan terima kasih kepada GB, Pentadbir dan barisan guru-guru yang cukup komited dalam menjayakan majlis semalam.
Hari ini keputusan UPSR telah pun diumumkan. SK Setiawangsa merupakan sekolah yang paling ramai murid mendapat 5A di Wilayah Persekutuan iaitu seramai 94 orang. Mereka seterusnya akan diraikan esok dalam Malam Majlis Anugerah Cemerlang 2009 yang penuh gemilang.
Pada tahun ini, sebanyak 506, 620 calon menduduki UPSR manakala pada tahun lepas sebanyak 507, 320 calon.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Sulaiman Wak berkata seramai 2,725 daripada 24,826 calon UPSR bagi sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) di Kuala Lumpur memperoleh 5A dan 7A.
"Walaupun peratusan kelulusan pada tahun 2009 telah menurun dari 66.94 peratus kepada 66.89 peratus tetapi peratus lulus semua A telah meningkat kepada 10.98 peratus berbanding tahun 2008 sebanyak 10.90 peratus," katanya kepada pemberita ketika mengumumkan keputusan UPSR bagi Kuala Lumpur.
Beliau berkata 94 calon SK Setiawangsa mendapat semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil, SK Bukit Damansara (80) dan SK Taman Tun Dr Ismail Satu (76).-petikan Harian Metro.
Tadi juga sibuk dengan raptai penuh... Tugasan yang diberi pada saya tidak lagi disiapkan dengan sempurna.. akibat banyak kekangan yang dihadapi.. esok juga ada majlis persaraan... pening kepala ni... malas nak cerita... sibuk sangat ni...
Cuma nak ucap tahniah pada mereka semua yang telah berjaya mendapat keputusan terbaik.. teruskan usaha pada masa-masa yang akan datang..