Nampaknya Gapena betul-betul serius untuk mempertahankan martabat Bahasa Melayu dan keputusan majoriti untuk menghapuskan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Tempoh hari dah desak ni desak lagi.
Kali ini, Ketua II Gapena Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata gabungan itu mahukan supaya kerajaan bertegas dan mengambil kata putus dalam isu berkenaan secepat mungkin.
"Menteri Pelajaraan boleh cakap kami beremosi.
"Hakikatnya kami memang beremosi, tetapi ini ialah demi mempertahankan martabat Bahasa Melayu seperti yang terkandung di bawah Perlembagaan," katanya selepas majlis makan malam Gapena bersama media malam tadi.
"Kami bersedia untuk mengambil tindakan tegas termasuk membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.
Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) memberi tempoh sehingga 31 Disember ini kepada kerajaan untuk membatalkan pengajaran dan pembelajaraan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).