Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) memberi tempoh kepada Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein sehingga 15 Mac depan untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
"Saya ugut menteri Hishammuddin agar dia meletakkan jawatan. Apa-apa yang kementerian lakukan sekarang ini berhubung PPSMI ini memang salah.
"Kita akan hantar notis dan beri tempoh sehingga 15 Mac sahaja menjelang Perhimpunan Agung Umno. Kalau tidak, kami akan buat laporan polis. Kami sedang menyusun beberapa perancangan berhubung hal itu," kata Ketua Dua Gapena Profesor Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar.
Beliau berkata demikian dalam Forum Ke Arah Memantapkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu yang membariskan antara lainnya Encik Rusli Abdul Ghani daripada DBP dan Prof Madya Dato' Zainal Abidin Borhan daripada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.- (sumber harakah)
Selain itu, Bekas Pensyarah di Jabatan Matematik Pusat Pengajian Kuantitatif UKM, Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, keadaan ini telah mengubah prestasi bahasa itu sendiri apabila penggunaan bahasa Melayu dikurangkan dalam mata pelajaran sekolah.
"Serius saya kata 10 hingga 15 tahun lagi bahasa Melayu berubah, jangan hairanlah nanti akhbar Melayu menjadi sisipan dalam suratkhbar," katanya dalam Seminar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Intelektual dalam Konteks Tamadun Alaf Baru dan Pelancaran Jurnal Peradaban di Universiti Malaya semalam.